DI DALAM sebuah mesin inkubator bertempat di sebuah makmal, kelihatan dua ekor anak monyet sedang girang bermain sesama mereka.
Sesekali kedengaran bunyi seakan tangisan seorang anak damit daripada monyet-monyet tersebut semasa bermain kerana berebut anak patung yang diletakkan bersama-samanya.
Melihat pada bentuk fizikal kedua-dua ekor anak monyet tersebut, ia kelihatan sama seperti karakter monyet-monyet biasa yang hidup sama ada secara liar mahupun di dalam zoo.
Namun, di sebalik karakter girang anak monyet itu, kedua-dua ekor monyet itu sebenarnya ‘dicipta’ oleh saintis menerusi kaedah pengklonan melalui teknik pemindahan sel nuklear somatik (SCNT) iaitu kaedah sama yang dibuat untuk menghasilkan kambing biri-biri Dolly the Sheep 21 tahun lalu di Edinburgh, Scotland.
Baru-baru ini, sekumpulan saintis dari Akademi Sains China (CAS) Institut Neurosains, di Shanghai telah membuat pendedahan berhubung mengenai kejayaan mereka dalam menghasilkan dua ekor monyet klon betina pertama di dunia dan haiwan kedua berjaya dihasilkan melalui kaedah SCNT selepas Dolly the Sheep.


Haiwan primat
Kejayaan tersebut sekali gus mencatat sejarah baru dalam bidang penyelidikan apabila berjaya menghasilkan monyet klon daripada sel tubuh haiwan primat bukan manusia.
Pada masa sama, kejayaan dalam menghasilkan monyet klon itu telah membuka satu persoalan baru tentang keupayaan para saintis untuk menghasilkan klon manusia pada masa akan datang.
Kedua-dua ekor monyet berekor panjang daripada spesies Macaca Fascicularis yang diberi nama Hua Hua dan Zhong Zhong itu telah dihasilkan pada 27 November dan 5 Disember 2017 selepas para saintis di CAS menjalankan penyelidikan selama bertahun-tahun mengenai teknik pengklonan dan pemindahan sel nuklear somatik.
Pengarah Penyelidikan Primat daripada CAS, Sun Qiang yang mengetuai kumpulan penyelidikan tersebut selama tiga tahun berkata, pasukannya sebelum ini telah membuat pengklonan terhadap lebih 20 spesies haiwan berbeza termasuk anjing, khinzir dan kucing, namun untuk menghasilkan seekor monyet didapati amat sukar.
Qiang memberitahu, kaedah yang sama dilihat boleh dilakukan terhadap sel-sel manusia berikutan monyet dan manusia juga berada dalam kategori yang sama iaitu daripada spesies mamalia.
“Usaha dan kejayaan ini menjadi kayu pengukur untuk menghasilkan manusia klon selepas kami melakukan 79 kaedah berbeza,” kata Qiang.
Salah seorang penyelidik daripada CAS, Mu-Ming Poo mendakwa, kejayaan teknik SCNT yang dilakukan untuk menghasilkan Hua Hua dan Zhong Zhong itu membawa prospek untuk menghasilkan manusia klon pada masa akan datang, namun mereka tidak pasti apakah alasan terbaik untuk mewujudkan manusia klon dan persoalan tentang etika dan undang-undang yang perlu difikirkan.
“Kami tidak mempunyai niat untuk mengaplikasikan kaedah ini kepada manusia buat masa sekarang,” jelasnya.
Perubatan
Kejayaan pengklonan monyet tersebut yang dilakukan menerusi teknik SCNT, iaitu kaedah pemindahan sel nukleus termasuk DNA ke dalam telur yang telah dibuang nukleus dan akan berkembang menjadi embrio.
Telur yang dibentuk semula menghasilkan embrio yang kemudiannya dimasukkan ke dalam rahim monyet betina untuk mewujudkan klon monyet yang mempunyai latar belakang genetik yang sama.
Keupayaan itu sekali gus membuka peluang untuk para saintis mencipta lebih banyak monyet terutama daripada spesies yang hampir pupus bagi tujuan pembelajaran dan penyelidikan saintifik.

Bagaimanapun, kejayaan menghasilkan klon monyet itu telah mendatangkan ketakutan tentang kesan buruk yang boleh berlaku pada masa hadapan.
Saintis memberitahu, kajian yang dijalankan telah dipantau di bawah kod piawaian antarabangsa yang ketat oleh Institut Kesihatan Kebangsaan, Amerika Syarikat berikutan usaha yang dilakukan itu menggunakan haiwan primat bukan manusia yang boleh mencetuskan keupayaan lain pada masa akan datang.
Menjelaskan dengan lebih lanjut, saintis mendakwa, tujuan dan fokus utama pengklonan spesies primat itu bertujuan untuk menghasilkan model haiwan yang digunakan sebagai ubat untuk kajian penyakit terhadap kesihatan manusia dalam populasi monyet.
Oleh kerana monyet tergolong dalam kategori primat bukan manusia, haiwan tersebut mempunyai evolusi lebih dekat dengan manusia berbanding binatang lain yang biasanya digunakan dalam penyelidikan.
“Jadi tujuan utama pengklonan monyet ini adalah untuk mewujudkan produksi genetik bagi tujuan bioperubatan terutamanya dalam perawatan penyakit otak manusia,” ujar Ming Poo.
Kajian penyakit
Hal ini kerana, ubat-ubatan yang dihasilkan dari makmal sering kali tidak berkesan atau menyebabkan kesan sampingan, namun melalui model klon daripada monyet, kemungkinan hasil yang diperoleh juga berbeza.
China telah merangka program sains otak sebagai kunci utama selama lima tahun dari tahun 2016 sehingga 2020 untuk menjadi peneraju dalam penyelidikan spesies primat bukan manusia.
Dalam program tersebut, China menyasarkan untuk menjadi pusat penyelidikan farmaseutikal dengan mewujudkan kaedah rawatan baru untuk penyakit otak atau tumor yang dijalankan ke atas monyet.
Saintis percaya bahawa model penyelidikan haiwan primat mempunyai peranan utama dalam banyak bidang terutamanya dari segi perubatan.
“Kita pernah menjalankan kajian ke atas monyet untuk mencari permasalahan kepada masalah virus Ebola serta Zika dan ia terbukti berkesan,” katanya.
Dalam pada itu, pihak saintis di CAS kini merancang untuk menghasilkan lebih banyak monyet klon yang direka untuk kajian perubatan melibatkan penyakit seperti parkinson, autisme dan alzheimer termasuk percubaan ke atas rawatan kanser kulit.
Kedua-dua anak monyet klon itu kini diberi minum melalui susu botol dan membesar secara normal sama seperti monyet normal yang lain di bawah pemantauan saintis. – Xinhua