Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 DIS – Kejohanan Kilanas 4X4 Baluai Off-road anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kilanas dengan usaha sama bengkel tempatan, Samdi Workshop telah memeriahkan musim cuti persekolahan hujung tahun 2024.
Acara yang berlangsung pada hujung November lalu di Tanah Lapang Jalan Ban 1, Kampung Kilanas itu telah dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku tetamu kehormat yang juga menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang.
Kejohanan tersebut mempertandingkan kategori terbuka individu dengan isi padu bebas yang disertai seramai 40 peserta dari dalam negara.
Pada acara tersebut, Awang Samdi bin Haji Bakir berjaya menewaskan peserta lain dengan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak $1,000.
Tujuan pertandingan itu diadakan adalah sebagai satu program untuk mengeratkan lagi silaturahim sesama penggemar kenderaan 4×4 di negara ini, di samping memberi peluang kepada peniaga perusahaan kecil dan sederhana untuk menjana ekonomi yang disertai oleh sebanyak 18 petak gerai jualan.
Acara terdahulu dimulakan dengan majlis perasmian yang disempurnakan oleh Ketua Kampung Kilanas, Haji Ameerolbahryne bin Haji Abdul Hamid dan Penasihat MPK Kampung Kilanas, Haji Rais bin Sabtu.