Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kejohanan AFF B-16, B-19 ditunda hingga 2021

    Oleh Fadhil Yunus

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OGOS – Pasukan bola sepak Negara Brunei Darussalam Bawah-16 tahun dan Bawah-19 tahun tidak akan menyambung untuk beraksi di Kejohanan Persatuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Bawah-16 dan Bawah-19 Tahun pada tahun ini selepas berkemungkinan kesemua kejohanan AFF akan ditangguhkan.

    Menurut Myanmar Times baru-baru ini, AFF akan menangguhkan kesemua kejohanan termasuk perlawanan futsal dan bola pantai yang masih diteliti untuk tahun ini ketika rantau ini sedang berdepan dengan pandemik COVID-19.

    Pengurus Besar Persatuan Bola Sepak Myanmar (MFF), U Ko Ko Thein berkata, “AFF telah memaklumkan bahawa kejohanan akan ditangguhkan ke 2021 dan tarikh-tarikh akan diputuskan selepas perjumpaan persatuan yang seterusnya.”

    Penangguhan tersebut dibuat beberapa hari selepas persatuan mengumumkan penundaan Piala AFF Suzuki 2020, yang sepatutnya diadakan pada penghujung bulan November dan dipindahkan ke tahun depan. Pasukan Bawah-16 tahun Negara Brunei Darussalam kali terakhir menyertai edisi sebelum ini pada Julai tahun lalu di Chonburi, Thailand, sementara pasukan Bawah-19 menyertai kejohanan di Vietnam pada bulan Ogos tahun lalu.

    Sementara itu, pasukan futsal kebangsaan, Arbisyam, yang mewakili negara dalam Kejohanan Futsal AFF dan Kejohanan Kelab Futsal AFF, menyertai kedua-dua kejohanan pada 2018. Shah United menjadi pasukan futsal pertama yang mewakili Negara Brunei Darussalam dalam Kejohanan Kelab Futsal AFF pada 2017.

    Dengan langkah-langkah pencegahan COVID-19 yang dilaksanakan di negara ini, kesemua aktiviti-aktiviti sukan telah digantung dan salah satu kejohanan sukan yang terkesan ialah Liga Super Brunei, sistem bola sepak peringkat tinggi di negara ini, yang masih digantung sejak 13 Mac. Sukan futsal turut menjadi salah satu sukan utama yang terjejas selepas merancang untuk menganjurkan liga kebangsaan, yang telah diumumkan semasa sidang media pada Januari lalu, terpaksa ditangguhkan. Awal tahun ini, AFF mengumumkan bahawa kejohanan Bawah-16 tahun dan Bawah-19 akan di-pindahkan sehingga penghujung 2020 semasa kejohanan sukan di seluruh dunia telah dibatalkan disebabkan oleh pandemik COVID-19.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda