Kejohanan akar umbi 2019 meriah

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JULAI – Dash Football Academy (Biru) muncul johan Kumpulan Juara selepas menamatkan saingan dalam kumpulan itu dengan maksimum sembilan mata di Festival Perlawanan 4×4 Akar Umbi Kebangsaan 2019 di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.

Mereka menamatkan kempen mereka dengan kemenangan 2-1 ke atas pesaing ketatnya, Brunei Shell Recreation Club FC Youth (Merah) sekali gus menduduki kedudukan teratas dengan rekod tanpa tewas.

Tempat kedua diduduki oleh Brunei Shell Recreation Club FC Youth (Merah), diikuti oleh Projek Ikan Pusu (Hijau) dan Parma yang masing-masing meraih kedudukan ketiga dan keempat.

Sementara itu dalam Kumpulan Plate, ISC Youth mengatasi Projek Ikan Pusu (Kuning/Hijau) dengan hanya perbezaan jaringan bagi merebut kedudukan teratas.

Dash Football Academy (Merah) pula berada di kedudukan ketiga dan Pasukan Tawakal di kedudukan keempat kumpulan tersebut.

Hadir selaku tetamu kehormat ke acara itu ialah Setiausaha Agung NFABD, Pengiran Anak Mohd Sofian bin Pengiran Anak Haji Ibrahim.

Festival disertai oleh 16 pasukan dari kelab-kelab, akademi bola sepak, sekolah-sekolah dan kampung-kampung termasuk tujuh dari Daerah Brunei dan Muara, empat dari Daerah Tutong dan lima dari Kuala Belait.

Pasukan-pasukan itu kemudian dipecahkan kepada empat kumpulan untuk mengharungi pusingan kelayakan round robin.

Setiap juara dalam Kumpulan A, B, C dan D akan dimasukkan ke dalam Kumpulan Juara, sementara pemenang kedua bagi setiap kumpulan pula dimasukkan dalam Kumpulan Plate.

Barisan pemain Dash Football Academy (Biru) bergambar bersama pingat kemenangan selepas muncul juara dalam kejohanan akar umbi tersebut.