Ahad, 23 November 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kejohanan Akuatik Dunia 2025 : Pandelela tarik diri

    SINGAPURA, 31 JULAI – Ratu terjun Malaysia, Datuk Pandelela Rinong, terpaksa menarik diri daripada saingan di Kejohanan Akuatik Dunia 2025, kali ini dalam acara 10 meter (m) platform individu yang berlangsung hari ini, susulan kecederaan bahu kiri yang belum pulih.

    Pemenang pingat Olimpik dua kali itu berkata keputusan berkenaan terpaksa dibuat selepas mempertimbangkan keadaan semasa memandangkan kecederaan dialaminya masih belum pulih sepenuhnya untuk membolehkan beliau bertanding dengan selamat dan pada prestasi terbaik.

    “Saya berterima kasih atas semua pesanan yang baik dan keprihatinan terhadap kesejahteraan saya. Saya berjanji akan menjaga diri dengan lebih baik sambil memberi tumpuan kepada proses pemulihan agar dapat terus mewakili Malaysia pada masa akan datang,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

    Pada masa sama, penerjun berusia 32 tahun itu memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada rakan sepasukan yang meneruskan cabaran, selain mengajak rakyat Malaysia memberikan semangat kepada skuad negara.

    Semalam, Pandelela terpaksa menarik diri daripada acara 10m platform seirama wanita, bergandingan dengan Lee Yiat Qing susulan kecederaan pada bahu kirinya.

    Gandingan itu sempat melengkapkan dua daripada lima terjunan dengan mengumpul 87 mata, sebelum pengumuman rasmi penarikan diri dibuat ketika pusingan kelayakan sedang berlangsung di Pusat Akuatik OCBC.

    Sementara itu, Yiat Qing yang turut beraksi dalam acara individu hari ini terkandas di pusingan kelayakan selepas menamatkan saingan di tempat ke-29 dengan mengumpul 240.20 mata. – Bernama

    Datuk Pandelela Rinong terpaksa menarik diri daripada saingan di Kejohanan Akuatik Dunia 2025 atas alasan kecederaan. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda