BANGKOK, 31 DIS – Ketua badminton Thailand berjanji bahawa kejohanan yang disambung semula pada bulan hadapan akan menjadi ‘paling selamat di dunia’ selepas pemain handalan China menarik diri disebabkan sekatan koronavirus.
Keputusan pemain China untuk menarik diri menyebabkan kekosongan besar dalam undian bagi tiga acara jelajah dunia bermula 12 Januari di Bangkok, kali pertama di Asia sejak COVID-19 menyebabkan penggantungan sukan pada Mac.
Presiden Persekutuan Badminton Thailand, Patama Leeswadtrakul berkata peraturan anti koronavirus China menghalang pasukan, termasuk juara Sukan Olimpik lelaki, Chen Long dan pemain nombor dua wanita dunia, Chen Yufei, dari mengadakan perjalanan.
“Sebab kerajaan China tidak membenarkan mereka keluar negara – bukan sahaja sukan badminton malahan semua sukan,” Patama memberitahu AFP.
Tiga kejohanan berturut-turut dalam kondisi gelembung bio keselamatan dan tanpa kehadiran peminat, semakin memuncak dalam Jelajah Final Dunia 2020 mulai 27 Januari.
Patama berkata kerajaan Thailand berusaha untuk memastikan standard kesihatan dilaksanakan, termasuk mengasingkan pemain ketika mereka turun dari pesawat.
“Gelembung kejohanan akan menjadi yang paling selamat di dunia,” kata Patama. “Selepas 4 Januari, tiada seorang pun dibenarkan untuk memasuki gelembung dan semua langkah dan protokol adalah sangat ketat demi kesihatan dan keselamatan semua.”
Dia mengakui bahawa prospek bermain tanpa peminat akan menjadi kebimbangan sebahagian peserta, yang risau akan menjejaskan persembahan mereka. – AFP