Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Kejohanan golf yang amat dinanti-nantikan, Baiduri Masters 2025, kembali lagi di mana pada tahun ini, ia menandakan edisi ke-27 kejohanan golf unggul Bank Baiduri yang akan diadakan di Kelab Golf Pantai Mentiri pada dua hujung minggu iaitu 1 hingga 3 Ogos dan 8 hingga 10 Ogos.
Kesemua hasil kutipan daripada kejohanan berkenaan akan didermakan kepada lima buah organisasi amal iaitu Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNAB), Pusat Perkembangan Kanak-kanak (CDC), Learning Ladders Society (LLS), La Vida Berhad dan SMARTER Brunei.
Pada 2024, kejohanan berkenaan menarik penyertaan daripada kira-kira 650 orang pemain golf dan berjaya mengutip derma keseluruhan berjumlah $64,000.
Sehubungan itu, penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) telah dimeterai antara Bank Baiduri dan rakan kongsi acara bagi Baiduri Masters 2025 dalam majlis yang berlangsung di Dewan Pameran BMW, QAF Auto, hari ini.
Pada majlis berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui berkata sepanjang tiga dekad yang lalu, Baiduri Masters telah berkembang menjadi salah satu daripada acara CSR yang amat dinantikan yang benar-benar mencerminkan semangat perkongsian dan tujuan bank.







Sejak penubuhannya pada 1995, tambahnya, kejohanan golf amal berkenaan telah menjadi sebuah platform bagi penaja, pemain golf dan masyarakat untuk berkumpul dalam menyokong golongan yang amat memerlukan.
“Bersama-sama, kita membantu membentuk masa depan yang lebih cerah,” ulas Ti Eng Hui.
Majlis berkenaan kemudian menyaksikan penandatanganan MoU di antara Bank Baiduri dengan QAF Auto di mana menandatangani bagi Bank Baiduri ialah, Ti Eng Hui dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Presiden Baiduri Masters 2025, Pengiran Azaleen Pengiran Dato Haji Mustapha.
Menandatangani bagi QAF Brunei ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan QAF Brunei, Albert Lau dan menandatangani selaku saksi ialah Pengurus Besar QAF Auto, Alisa Khoo.
Majlis kemudian menyaksikan penandatangan MoU antara Bank Baiduri dan QAF Prestige di mana menandatangani bagi Bank Baiduri ialah Ti Eng Hui dan Pengiran Azaleen dan menandatangani bagi QAF Brunei ialah Albert Lau dan menandatangani selaku saksi ialah Timbalan Pengurus Besar QAF Prestige, Daniel Loo.
Seterusnya majlis menyaksikan penandatanganan MoU antara Bank Baiduri dan Brunei Press di mana menandatangani bagi Bank Baiduri ialah Ti Eng Hui dan Pengiran Azaleen dan menandatangani bagi QAF Brunei ialah Albert Lau serta menandatangani selaku saksi ialah Pengurus Besar Brunei Press, Anafiah binti Omar.
Dalam kejohanan berkenaan, para peserta akan bertanding untuk merebut piala cabaran yang diperkenalkan semasa edisi ke-25 kejohanan dan jaket hijau berprestij.
Para pemain golf juga akan bertanding untuk memenangi hadiah-hadiah hole-in-one iaitu tiga kenderaan elektrik (EV), BMWiX, Porsche Macan dan MINI Aceman serta hadiah wang tunai $20,000.
Pendaftaran bagi Baiduri Masters akan bermula pada 5 Julai, menawarkan kadar $120 bagi kategori-kategori lelaki, wanita dan senior serta $60 bagi kategori junior.
Pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian melalui platform Maribali, www.maribali.com.bn, pada kadar diskaun $115 bagi ka-tegori-kategori lelaki, wanita dan senior.
Pendaftaran boleh dibuat dengan menghantar borang pendaftaran dan membuat pembayaran penuh di kaunter pendaftaran di Kelab Golf Pantai Mentiri dengan borang-borang pendaftaran boleh diperoleh secara dalam talian dan di Kelab Golf Pantai Mentiri.

