Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MEI – Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Jasmani dan Rekreasi, Jabatan Pendidikan Kokurikulum hari ini telah mengadakan Kejohanan Liga Bola Jaring Sekolah-sekolah Brunei Darussalam (BDSNL) 2023 di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (MPH).
Kejohanan BDNSL 2023 tersebut akan berjalan selama 10 hari setiap Selasa dan Sabtu bermula 9 Mei hingga 13 Jun.
BDSNL merupakan kejohanan bagi para pelajar perempuan dari sekolah-sekolah menengah, maktab dan pusat tingkatan enam di Negara Brunei Darussalam yang diadakan buat julung kalinya pada tahun ini.
Pada tahun ini, sebanyak 29 buah pasukan daripada 29 buah sekolah akan menyertai pusingan playoff.
Pasukan-pasukan tersebut telah dibahagikan kepada lapan kumpulan di mana setiap kumpulan mempunyai empat dan tiga pasukan.

Kejohanan ini dijalankan dalam format liga di mana pusingan playoff akan dilaksanakan pada tahun ini, manakala BDSNL Super League dan BDSNL Premier Cup akan diadakan pada tahun 2024.
Setiap juara daripada lapan kumpulan di pusingan playoff akan layak untuk bertanding di BDSNL Super League 2024 dan yang selebihnya akan bertanding di BDSNL Premier Cup 2024.
Antara tujuan utama kejohanan ini diadakan adalah sebagai persediaan bagi penyertaan dalam Sukan Sekolah ASEAN yang dianjurkan setiap tahun oleh Majlis Sukan Sekolah-sekolah ASEAN (ASSC).
Kejohanan ini juga diadakan dengan kerjasama Persatuan Bola Jaring Kebangsaan Brunei Darussalam yang turut membantu dari segi pengurusan teknikal bagi memastikan kejohanan dilaksanakan mengikut undang-undang bola jaring yang terkini.

