
Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Kejohanan BN on the Move (BNOTM) 2024 anjuran Kementerian Kesihatan akan dilanjutkan sehingga 20 September depan.
Pelanjutan berkenaan diumumkan oleh Ketua Pusat Promosi Kesihatan (PPK), Dr Siti Rosemawati binti Haji Mohd Yussof pada sidang media di PPK, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Sidang media itu turut disertai oleh Pengarah Jabatan Teknologi Penjagaan Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Awang Rudy bin Haji Harun dan Pegawai Perubatan Kanan, PPK, Dr Hajah Norhayati binti Haji Ahmad, serta pegawai-pegawai dan kakitangan di PPK, Kementerian Kesihatan.
Dr Siti Rosemawati menjelaskan bahawa kejohanan yang bermula pada 20 Mei lalu itu dibahagikan kepada empat kategori iaitu kategori kerajaan, kategori swasta, kategori institusi pengajian tinggi dan kategori orang awam (komuniti).
Ia adalah bagi mendorong pengguna untuk lebih melibatkan diri dan berdaya saing dalam melakukan kegiatan fizikal dari segi pengiraan jumlah langkah setiap hari.
Beliau juga mengongsikan bahawa kejohanan kali ini menunjukkan peningkatan dalam penyertaan daripada kementerian-kementerian, syarikat, institusi pengajian tinggi dan juga daripada individu-individu.
“Dari 20 Mei hingga 20 Julai, jumlah penyertaan dalam Kejohanan BNOTM 2024 itu meningkat sebanyak 3.5 kali ganda, dan dalam tempoh yang sama juga, syarikat-syarikat yang menyertai sektor swasta turut meningkat daripada 47 kepada 95,” kongsinya.
Selain itu, jumlah purata langkah harian meningkat daripada 4,950 pada 20 Mei kepada 5,910 pada 20 Julai.
Berdasarkan peningkatan penyertaan, jelasnya, tempoh kejohanan akan dilanjutkan sehingga 20 September nanti bagi memberi peluang kepada peserta dan orang ramai menyertainya.
Kementerian Kesihatan turut mengumumkan, dalam masa terdekat akan ada penjualan baju Kejohanan BNOTM 2024 secara dalam talian, dan sebahagian daripada penjualan tersebut akan disumbangkan kepada amal kebajikan.
Sehubungan itu, kementerian mendorong kepada para peserta dan orang ramai untuk terus komited dan bergiat aktif secara konsisten melalui kejohanan itu dan diharapkan ia dapat membantu mencegah atau mengawal penyakit-penyakit tidak berjangkit.
Selain itu, BNOTM 2024 yang membawa slogan Brunei Melangkah Maju, diharapkan juga dapat memudahkan golongan sasaran secara amnya dalam melakukan kegiatan fizikal dan juga memudahkan pemantauan kadar kegiatan fizikal di negara ini.

