Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Persatuan Bola Jaring Brunei (BNA) mengambil inisiatif untuk mengadakan majlis ramah mesra dengan kelab-kelab bola jaring di seluruh negara di Restoran Pantai Tarindak, Jerudong, baru-baru ini.
Sebanyak 24 buah kelab tempatan terdiri daripada pasukan lelaki dan wanita dari MS ABDB, MS PDB, MSSBD, Jabatan Penjara, Ivy League, Angel Net, Red Butterfly, BSRC, Jalapeno Stallions, Fox Warriors, 7Strike, Strike Force, Rejuven8, Temburong Netball Club, X One, Eagles Squad, Politkenik, DCM dan Velunu Famz menyertai majlis tersebut.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Presiden BNA, Leftenan Kolonel (B) Hajah Wan Shahlimar binti Haji Suhaili dan turut hadiri oleh ahli-ahli BNA.
Presiden BNA dalam ucapannya berkata ahli BNA telah menyumbang usaha bagi membangunkan sukan bola jaring di negara ini dan beberapa program tahunan juga telah dirancang.
Beliau berkata, “Kelab bola jaring sepatutnya berada di bawah naungan persatuan dengan yuran kemasukan yang bersistematik dan kelebihan lain yang boleh didapati oleh kelab yang di bawah naungan persatuan termasuk menghadiri kursus kejurulatihan dan pengadil serta kejohanan dengan bantuan persatuan.”
Presiden persatuan mengimbau kembali sejarah dan pembangunan sukan bola jaring di negara ini semasa tahun 1988.
Persatuan, tambah beliau, turut berbangga dengan pengadil berkelayakan di mana seorang memegang lencana ‘B’ dan empat memegang lencana ‘C’ telah menyertai kursus di luar negara dan diiktiraf oleh Persekutuan Bola Jaring Asia dan Persekutuan Bola Jaring Antarabangsa.
Empat pengadil telah mewakili negara bagi mengadili kejohanan yang diiktiraf antarabangsa seperti Kejohanan Bola Jaring Asia dan Kejohanan Belia Asia di Singapura, Hong Kong, Korea Selatan, Jepun dan turut mendapat pendedahan di luar negara dengan pasukan bola jaring Negara Brunei Darussalam di Australia, Singapura dan Sri Lanka.
Beliau turut mengongsikan perjumpaan agung akan diadakan pada Jun nanti dan semua kelab adalah dijemput untuk mengundi. Dengan pengumuman pelaksanaan pelan de-escalation Tahap 5 (Normal Baharu), BNA dijangkan mengadakan Liga Bola Jaring Kebangsaan pada Jun nanti.
Sementara itu di peringkat antarabangsa, pasukan bola jaring kebangsaan terpaksa menarik diri daripada menyertai Liga Super Singapura, yang bermula pada 28 Februari hingga 8 Mac lalu, dan Sukan Indoor di Bangkok pada Mei 2021 disebabkan oleh pandemik COVID-19.