Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kejohanan boling erat hubungan persahabatan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OGOS – Demi menjalin hubungan persahabatan yang erat dan memupuk persaingan yang sihat, Kelab Sukan Boling XBPS dan XSOASC telah menganjurkan Kejohanan Fun & Friendly Ten Pin Bowling bertempat di Utama Bowling Centre, Batu Satu, baru-baru ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada kejohanan yang disertai oleh 30 peserta itu ialah Pemangku Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Hajah Noor Maslina binti Haji Sulaiman yang turut menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang di akhir acara.

    Kejohanan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-78 itu telah menyaksikan juara bagi Kategori Perseorangan Lelaki King of Bowlers dimenangi oleh Awang Abdul Salam bin Rajab, manakala juara bagi Perseorangan Wanita Queen of Bowlers dimenangi oleh Hajah Siti Norbaya binti Haji Nawi.

    Dalam perkongsian kepada Media Permata, Pengiran Mohd Jeffery bin Pengiran Haji Kula selaku pengerusi kejohanan berkenaan antaranya menjelaskan kejohanan boling itu sebagai platform bagi mengumpulkan semula bekas para penuntut Sekolah Persediaan Inggeris (BPS) dan Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, dari tahun 1980 hingga tahun 1985, selain bertujuan untuk mengeratkan lagi jiwa setiakawan yang sudah lama terjalin sejak dari bangku sekolah hingga ke hari ini melalui sukan boling.

    Kumpulan Kelab Sukan Boling XBPS dan XSOASC mula ditubuhkan pada awal tahun 2019 dan kini memiliki seramai 55 orang ahli di bawahnya.

    Sebelumnya, kelab berkenaan telah berjaya menganjurkan kejohanan itu buat julung kalinya pada 21 April 2019.

    Pemain Kelab Sukan Boling XBPS dan XSOASC bergambar ramai semasa kejohanan itu. – GAMBAR SERAHAN KELAB SUKAN BOLING XBPS DAN XSOASC
    GAMBAR SERAHAN KELAB SUKAN BOLING XBPS DAN XSOASC
    GAMBAR SERAHAN KELAB SUKAN BOLING XBPS DAN XSOASC

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda