Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OKT – Sebanyak 25 buah pasukan mengambil bahagian dalam tiga kategori yang dipertandingkan semasa Kejohanan Boling Tenpin Tertutup Lima Sepasukan yang berlangsung di Pusat Boling, Utama, Bandar Seri Begawan, baru-baru ini.
Kejohanan anjuran Persatuan Lun Bawang Murut Brunei (PLBMB) diadakan selama dua hari di mana ia merupakan satu acara sempena, Irau Tupeh Padey 2025, yang bertujuan untuk membina kerjasama dan mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan pemain-pemain.
Di samping itu, ia juga dihasratkan untuk memupuk minat dan mengembangkan sukan Boling di kalangan Puak Murut khususnya dan penduduk Negara Brunei Darussalam amnya.
Kejohanan itu juga diharapkan dapat mengetengahkan bakat puak Murut dalam sukan Boling sekali gus melahirkan masyarakat yang memiliki fizikal dan mental yang sihat dan cergas.
Kejohanan itu dibahagikan kepada tiga kategori iaitu kategori veteran untuk yang berumur 45 ke atas, dewasa unutuk umur 30 ke 44 dan remaja umur 12 ke 29.

Hadir semasa perlawanan akhir dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Yang Dipertua Persatuan Lun Bawang Murut Brunei, Leftenan Kolonel (B) Awang Tamin bin Tuah.
Dalam kategori veteran lelaki, johan ialah Gisang bin Kaleng, naib johan ialah Annua bin Bangau dan tempat ketiga ialah Japari Berauk. Bagi kategori veteran wanita, johan ialah Hayati binti Udan, naib johan ialah Dayang @ Nurihsaan binti Abdullah dan ketiga ialah Jauyah binti Abdullah.

Bagi Kategori Dewasa Lelaki, Johan ialah Helmizan bin Pedian, Naib Johan ialah Darius bin Yakub dan Ketiga ialah Rexcey Lim. Bagi Kategori Dewasa Wanita, Johan ialah Natalia binti Lakong, Naib Johan ialah Eleyina binti Sabtu dan Ketiga ialah Christy Deborah Ak Dolah.
Bagi Kategori Remaja Lelaki, Johan ialah Radin bin Reimy, Naib Johan ialah Ayman Hatem Ragab dan Ketiga ialah Giuseffe Romel bin Gisang. Bagi Kategori Remaja Wanita, Johan ialah Alvina Nabihah binti Ali, Naib Johan ialah Susan binti Udan dan Ketiga ialah Melissa binti Dawat.
Pemenang bagi Piala Pusingan dan Johan Kumpulan (berpasukan ) ialah Zon 4. Sementara itu, naib johan kumpulan (berpasukan) ialah Zon 5 dan tempat ketiga ialah Zon 1.

