Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV – Seramai 65 peserta yang terdiri daripada 34 peserta dalam pasukan lelaki dan 31 peserta dalam pasukan perempuan telah menyertai Kejohanan Tenpin Bowling anjuran Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), yang berlangsung di Golden Bowling, Airport Mall, Berakas pagi tadi.
Kejohanan bersempena memperingati 69 tahun Pendidikan Ugama Formal itu turut menyaksikan penentuan pemenang bagi semua kategori pertandingan.
Penganjuran tersebut merupakan inisiatif Jabatan Pengajian Islam bagi menggalakkan warga kementerian mengamalkan gaya hidup sihat melalui penglibatan aktif dalam sukan, di samping mengeratkan silaturahim serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan warga KHEU. Pertandingan pagi tadi melibatkan kategori VIP Lelaki dan Perempuan sebagai kesinambungan daripada perlawanan yang bermula sejak 26 Oktober lalu.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, yang turut mengambil bahagian dalam pertandingan sebelum menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang. Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Haji Shamshol bin Haji Omar.
Dalam Kategori VIP Lelaki, Pengiran Mohd. Aminuddin bin Pengiran Hussin telah muncul juara, manakala Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali dan Haji Mohd Ahsanol Azmi bin Pengiran Haji Sarbini masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Bagi Kategori VIP Perempuan pula, kejuaraan dimenangi Hajah Zunainah binti Haji Gunong, diikuti Datin Ummiyati binti Haji Mohd Noor di tempat kedua dan Hajah Susilawati binti Haji Mohamad di tempat ketiga.
Sementara itu, dalam Kategori Berpasukan Lelaki, Pasukan Mujahid Strikes dari Bahagian Sekolah Umum Pendidikan Islam dinobatkan sebagai juara, diikuti Pasukan GO Strikes mewakili Jabatan Pentadbiran KHEU di tempat kedua dan Pasukan JPI Bowlers A dari Jabatan Pengajian Islam di tempat ketiga.
Bagi Kategori Berpasukan Perempuan, Pasukan The Incredibowls dari Maahad Islam Brunei menduduki tempat pertama, manakala Pasukan AsSayyeedat Ar-Rae’aat dari Sekolah Arab Belait dan Pasukan Al-Faizah dari Kawasan Brunei IIA masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga.
KHEU berharap kejohanan seumpamanya dapat diteruskan bagi memupuk budaya hidup sihat, mempererat ukhuwah dan menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan warga kementerian.
Semua di atas: Antara pemenang yang menerima hadiah semasa pertandingan berkenaan.


