Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Dalam memeriahkan Sambutan Hari Guru Ke-33, Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Kokurikulum telah mengadakan Kejohanan Tenpin Boling dengan kemuncaknya berlangsung hari ini di Golden Bowling, Airport Mall.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad.
Kejohanan dibahagikan kepada empat kategori iaitu Kategori VIP Lelaki yang disertai oleh 24 orang peserta, VIP Perempuan (tujuh peserta), Berpasukan Lelaki (52 pasukan) dan Berpasukan Perempuan (40 pasukan).
Pasukan All Pins Down yang terdiri daripada pasukan gabungan Jabatan Peperiksaan, Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan dan Jabatan Perancangan, Perkembangan dan Penyelidikan telah diumumkan sebagai juara bagi Kategori Berpasukan Lelaki dengan 1,990 jatuhan pin.
Manakala itu, Dr Arman bin Haji Asmad menyandang juara dalam Kategori VIP Lelaki dengan 469 jatuhan pin.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/10/P7-2Boling-2_02102023.jpg)
Pasukan Universiti Brunei Darussalam (UBD) A pula muncul juara Kategori Berpasukan Perempuan dengan 1522 jumlah jatuhan pin secara keseluruhannya manakala Hajah Joanna binti Haji Yacob menyandang juara dalam Kategori VIP Perempuan dengan 432 jatuhan pin.
Penyertaan telah dibukakan kepada pegawai dan kakitangan yang sedang berkhidmat di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), bagi Jabatan Pengajian Islam, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan dan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah sahaja.
Antara tujuannya adalah untuk menggalakkan warga kedua-dua kementerian untuk bergiat aktif dan berdaya saing dalam sukan.
Di samping itu, ia diharap akan dapat memupuk semangat harmoni dan silaturahim dalam kalangan warga Kementerian Pendidikan dan KHEU.