Tuesday, September 24, 2024
28.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kejohanan Dunia Wusyu Remaja ke-9 bakal berlangsung di Brunei

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 SEPT – Kejohanan Dunia Wusyu Remaja ke-9, anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama Persekutuan Wusyu Brunei Darussalam, dijadualkan bermula dari 25 hingga 29 September.

    Kejohanan itu akan mempertandingkan dua kategori utama, iaitu acara Taolu yang akan berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah dan acara Sanda di Dewan Serba guna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.

    Pada tahun ini, kejohanan tersebut akan menyaksikan penyertaan seramai 931 orang yang terdiri daripada 507 atlet, 220 pegawai pasukan serta 204 pegawai teknikal dan pemerhati dari 50 negara. Antara negara yang terlibat ialah Algeria, Armenia, Australia, Belgium, Brazil, China, Perancis, Jerman, Jepun, Malaysia dan Brunei Darussalam selaku tuan rumah.

    Perkara itu diumumkan oleh Setiausaha Agung Eksekutif Kejohanan Dunia Wusyu Remaja ke-9, Ang Ju Ming, semasa sidang media yang berlangsung di Bilik VIP, Tingkat I, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Kebeliaan), KKBS, Haji Zakaria bin Haji Serudin.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pegawai Penganalisa Sukan, Jabatan Belia dan Sukan, Haji Ahmad Yaardy bin Haji Abdul Karim, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pengerusi Bersama Eksekutif Kejohanan, Muhammad Firdaus bin Abdul Rahman dan ucapan daripada Setiausaha Agung Persekutuan Wusyu Antarabangsa (IWUF), Zhang Qiuping.

    Acara turut diserikan dengan tayangan video lagu tema kejohanan dan penyampaian sijil penghargaan kepada para penaja oleh tetamu kehormat. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai bersama tetamu kehormat.

    Kejohanan Dunia Wusyu Remaja itu merupakan acara rasmi IWUF yang diadakan setiap dua tahun, menampilkan persaingan tertinggi dalam kalangan atlet wusyu remaja dari seluruh dunia.

    Sidang media Kejohanan Dunia Wusyu Remaja yang berlangsung di Bilik VIP, Tingkat I, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas. – GAMBAR OLEH FADHIL YUNUS
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda