Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Perlawanan bagi Kejohanan Futsal Keputeraan 2022 akan diteruskan pada Ahad ini dengan giliran kumpulan A, B, C dan D memperlihatkan potensi mereka untuk merebut dua slot terbaik dalam kumpulan masing-masing sebelum melangkah ke pusingan kedua.
Kumpulan A dibarisi oleh pasukan QFT, SU B, Perwira B dan Kasuka & Ar Rawda sementara kumpulan B pula terdiri dari pasukan Perwira C, Syahkampong M, GG FT dan Brunei 88 A.
Kumpulan C akan menyaksikan persaingan antara pasukan Almerez B, One Solution, Perwira A’dan Brunei 88 B manakala kumpulan D dibarisi pasukan Arbisyam A, DD FT B, BAN LS dan SU A.
Pada persaingan minggu lepas, enam pasukan lebih awal mengesahkan tempat untuk mara ke pusingan kedua termasuk pasukan Sporty Guy dan DD FT A mewakili kumpulan E.
Pasukan Boneka FT dan Street Utd A layak dari kumpulan F sementara Kumpulan G menyaksikan pasukan Almerez A dan Arbisyam B turut mara ke pusingan seterusnya.
Sebanyak 28 buah pasukan dari tujuh kumpulan bersaing pada kejohanan edisi 2022 yang telah membuka tirai perlawanan pada 28 Ogos lalu, di Dewan Kompleks Sukan Universiti Brunei Darussalam.
Kejohanan berkenaan adalah salah satu acara yang dimuatkan dalam kalendar perayaan sempena sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-76 tahun.
Kejohanan ini adalah anjuran Jawatankuasa Futsal Keputeraan 2022 dan telah mendapat sokongan daripada Persatuan Bolasepak Brunei Darussalam (FABD) sekaligus sebagai platform untuk memberi peluang mengilap potensi pemain sukan futsal di negara ini.
