Monday, October 28, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kejohanan futsal perkukuh persahabatan Brunei-M’sia

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Sebagai platform penting untuk membina hubungan lebih erat antara komuniti sukan di Negara Brunei Darussalam dan Malaysia, Liga Futsal Yakin Madani (YMFL) 2024 merupakan jambatan yang menghubungkan kedua-dua negara dalam usaha memperkukuh hubungan sedia ada.

    Demikian antara intipati ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan Miri, Sarawak, Adam Adli bin Abdul Halim selaku tetamu kehormat bagi merasmikan Kejohanan YMFL 2024 di Stadium Tertutup Miri, Sarawak, kelmarin.

    “Kita harus menjadikan sukan sebagai jambatan yang menghubungkan kedua-dua negara dalam usaha memperkukuh hubungan sedia ada. Kejohanan ini bukan sekadar pertandingan kendalian pihak swasta dari kedua-dua negara, tetapi juga simbol persahabatan erat antara kedua negara,” katanya.

    Beliau turut menekankan bahawa kejohanan ini membuka ruang untuk meningkatkan persefahaman, perpaduan, dan persaudaraan.

    Sementara itu, Pengarah Kumpulan Syarikat HiTune, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang, yang juga pengerusi bersama kejohanan, menjelaskan bahawa penganjuran YMFL 2024 menjadi satu lagi tanda kemajuan futsal di Miri dan penanda aras dalam usaha Liga Bola Sepak Yakin (YFL) memperluaskan pengaruhnya ke negara jiran, Sarawak.

    Tetamu kehormat semasa merasmikan acara tersebut di Stadium Tertutup Miri, Sarawak, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN YFL
    GAMBAR SERAHAN YFL

    “Kejohanan ini juga membuktikan kolaborasi antara YFL dan Kelab Rekreasi Wira Jaya, yang membawa manfaat kepada pembangunan sukan di kedua-dua negara dan menjadi landasan untuk memperluaskan penglibatan futsal di peringkat lebih tinggi,” tambahnya.

    Beliau turut menekankan bahawa YFL berfungsi sebagai platform pengurusan acara sukan yang berperanan menyokong kecemerlangan sukan dan menyumbang kepada pembangunan sukan di Brunei Darussalam khususnya dan serantau amnya.

    “YMFL juga berperanan sebagai mekanisme untuk menyatukan masyarakat dan memperkukuh hubungan antara komuniti sukan tempatan,” jelasnya, sambil menyatakan keyakinan bahawa kerjasama erat antara YFL dan Wira Jaya, serta sokongan penaja dan pihak berkepentingan lain, akan memastikan kejohanan ini mencapai kejayaan besar.

    Pada majlis tersebut, Adam Adli turut diperkenalkan kepada pasukan yang bertanding dan seterusnya merasmikan YMFL 2024.

    Kejohanan tersebut disertai lapan pasukan termasuk Futbolismo FT, BARD’S 78 FT, Dasarn Rovers, Wirajaya SSC, IPD Miri, Vendetta FT, SS5, dan MZJ dalam edisi 2024.

    Majlis perasmian YMFL berlangsung meriah dalam suasana penuh semangat kesukanan dan keazaman tinggi, dianjurkan bersama oleh YFL dan Kelab Rekreasi Wira Jaya.

    Turut hadir ialah Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat HiTune dan YFL, Dayang Hernah Nur Imani binti Mohd Jeffrey; Naib Presiden Sarawak FA, ASP Khairul Anuar Adeni; Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Miri, Mohd.

    Saif Zubaidi; Penolong Ketua Zon Utara Sarawak Sport, Easteer Samuel; dan Presiden Kelab Rekreasi Wira Jaya Miri, Haji Nor Amin Bungsu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda