Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Kementerian Kesihatan malam tadi telah mengadakan Majlis Penutup Kejohanan Futsal Piala Menteri Kesihatan yang diselajurkan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan di Dewan Serba guna Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu dan seterusnya berkesudian menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Dalam kejohanan tersebut, muncul selaku juara ialah Jabatan Perkhidmatan Kesihatan setelah berjaya menewaskan Pasukan Hospital PMMPMHAMB, Tutong pada perlawanan akhir dengan keputusan akhir 3-1.
Gol kemenangan Pasukan Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dijaringkan oleh Dr Ibrahih, Arif Haji Zulkifli dan Haji Mohd Salihuddin.
Sementara itu gol tunggal Pasukan Hospital PMMPMHAMB pula disumbangkan oleh Awang Sahrol Nizam.

Muncul tempat ketiga bagi kejohanan tersebut ialah Pasukan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan Pasukan Jabatan Perkhidmatan Renal.
Antara tujuan majlis ini diadakan ialah bagi mengeratkan tali silaturahim antara pegawai dan kakitangan yang berkhidmat di Kementerian Kesihatan; selain mencungkil bakat-bakat baharu untuk diserapkan dan mewakili Kementerian Kesihatan sama ada dalam sukan futsal atau bolasepak.
Di samping itu juga, ia bertujuan untuk menyahut seruan Kementerian Kesihatan untuk menuju visi 2035 – ‘Bersama ke Arah Warga Sihat’.
Perlawanan peringkat kumpulan telah diadakan pada 28 Februari lalu disertai oleh sebanyak 13 buah pasukan dari jabatan-jabatan dan hospital-hospital di bawah Kementerian Kesihatan.
Sebelum perlawanan akhir diadakan, satu perlawanan persahabatan telah dilangsungkan di antara pasukan Yang Berhormat Menteri Kesihatan menentang pasukan setiausaha tetap di Kementerian Kesihatan.
Manakala perlawanan di peringkat suku akhir dan separuh akhir juga telah berlangsung di tempat yang sama pada sebelah pagi tadi.
Turut hadir pada majlis ini ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman; Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) Kementerian Kesihatan, Dr Haji Zulaidi bin Haji Abd Latif; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar & Pengurusan), Haji Maswadi bin Haji Mohsin; Dr. Haji Mohin bin Haji Momin selaku pengerusi kejohanan, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan.