Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Kejohanan Golf Amal Pusat Ehsan kini kembali buat kali yang ke-23 yang dijadualkan berlangsung pada 6 hingga 8 Oktober ini di Kelab Golf Pantai Mentiri.
Kejohanan golf amal tersebut seperti penganjuran sebelumnya bakal menampilkan para pemain golf tempatan yang bersaing bukan sahaja kerana kecintaan mereka terhadap sukan golf tetapi juga bagi menyokong hasrat murni berkebajikan iaitu untuk menambahkan dana bagi Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan).
Perkara tersebut dijelaskan oleh Pemegang Amanah Kanan Pusat Ehsan, Dato Paduka Haji Mohammad Alimin bin Haji Abdul Wahab semasa sidang media mengenai kejohanan golf amal berkenaan yang diadakan di Kelab Golf Pantai Mentiri, hari ini.
Menerusi perlawanan golf amal tersebut, ia dihasrat dapat mengutip sumbangan bagi Pusat Ehsan daripada orang ramai, sektor swasta dan korporat termasuk dari segi tajaan dan sumbangan kepada perlawanan tersebut atau menyumbang derma secara langsung kepada pusat berkenaan.
Sementara itu, Seruji bin Haji Setia selaku pengerusi perlawanan berkata bahawa perlawanan itu dibukakan kepada semua pemain golf termasuk pemain-pemain golf wanita dan senior, di mana pendaftaran dan borang penyer-taan bagi kejohanan itu boleh didapati di Kelab Golf Pantai Mentiri dan Pusat Ehsan.
Beliau semasa sidang media itu juga menerangkan bahawa kejohanan itu dijalankan berdasarkan Sistem 36 (Stroke Play), di mana pelbagai hadiah menarik menanti para pemain termasuk hadiah-hadiah bagi hole-in-one dan hadiah-hadiah menarik lainnya.
Dengan membawakan tema Perpetual Care, dianggarkan sebanyak 250 penyertaan akan diterima semasa penganjuran acara itu nanti. Sehubungan itu, bagi mereka yang berminat khususnya para pemain golf tempatan adalah dialu-alukan untuk menyertai kejohanan golf berkenaan.
