Oleh Faridah Haji Ibrahim
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mac – Seramai 43 orang pemain golf terdiri daripada mantan kakitangan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) dan mantan kakitangan Syarikat Brunei Shell Petroleum (BSP) telah mengadakan perlawanan golf persahabatan bertempat di Kelab Golf Diraja Brunei Berakas.
Perlawanan berakhir dengan keputusan perlawanan overall gross dimenangi oleh Awang Yussof Johan daripada kumpulan mantan kakitangan BSP dengan 80 pukulan manakala Awang Omar Yussof yang juga dari kumpulan yang sama memenangi overall nett dengan 70 pukulan.
Sementara itu, pemain terbaik kumpulan mantan kakitangan RB dimenangi oleh Pengiran Haji Yaakub bin Pengiran Haji Salleh dengan 72 pukulan manakala Haji Jumat Tuah dengan pukulan 71 selaku pemain terbaik kumpulan mantan kakitangan BSP.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan hadiah kepada para pemenang ialah mantan Pengarah Urusan RB, Pengiran Dato Paduka Haji Tengah bin Pengiran Dato Paduka Haji Metassim.

Turut hadir dan menyertai perlawanan tersebut ialah mantan Pengerusi Lembaga Pengarah RB, Dato Paduka Haji Mohammad Alimin bin Haji Abdul Wahab, mantan Timbalan Pengurus Umum RB, Haji Ibrahim bin Haji Ismail, mantan Pengarah Sumber Manusia RB Haji Yahya Cheman, mantan Pengarah Urusan BSM Pengiran Haji Ali bin Pengiran Haji Matasad, mantan Pengarah Urusan Brunei LNG Haji Ibrahim Yassin dan mantan Pengarah Urusan Brunei Gas Carriers, Haji Shabudin Musa.
Perlawanan golf persahabatan ini dipengerusikan oleh mantan kakitangan RB, Haji Roslan bin Haji Salim Perlawanan golf persahabatan ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara peserta-peserta kejohanan golf dan diharapkan kejohanan seumpama ini akan diteruskan lagi di masa akan datang.