Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kejohanan golf Terbuka Malaysia kembali lepas tiga tahun

    KUALA LUMPUR, 29 DIS – Kejohanan golf Terbuka Malaysia kembali semula selepas tiga tahun terhenti akibat pandemik COVID-19, dengan edisi 2024 dijadualkan di bawah Jelajah Asia dari 15 hingga 18 Februari di Mines Resort and Golf Club.

    Bagi menarik lebih ramai pemain golf terkemuka, pihak penganjur cuba menjadikan acara bernilai AS$1 juta itu (kira-kira RM4.6 juta) sebagai salah satu kejohanan kelayakan untuk kejohanan British Open 2024 yang berprestij.

    Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata pihaknya telah membuat permohonan kepada penganjur The Open, Royal & Ancient (R&A) Golf Club of St Andrews, di United Kingdom, bagi mendapatkan status kelayakan itu.

    “Kami masih menunggu pengesahan R&A, dan pengumuman akan dibuat oleh Pesuruhjaya Jelajah Asia. Jika R&A mengesahkan dua atau tiga pemain terbaik layak ke The Open, saya pasti ramai pemain golf terbaik akan tampil bermain (di Terbuka Malaysia),” katanya pada sidang media kejohanan, kelmarin.

    Kejohanan The Open ke-152 dijadualkan dari 18 hingga 21 Julai di Kelab Golf Royal Troon di Scotland. Dimulakan pada 1860, The Open ialah kejohanan golf tertua di dunia yang menawarkan hadiah wang tunai bernilai AS$16.5 juta pada edisi 2023. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda