Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kejohanan jadi ‘ubat’ Aaron kekal berbisa

    KUALA LUMPUR, 3 OKT – Pemain beregu lelaki Malaysia, Aaron Chia mengakui dirinya lebih gemar beraksi dalam seberapa banyak kejohanan setiap tahun kerana ia menjadi kunci utama mengekalkan ‘perasaan’ di dalam gelanggang, khususnya dengan hala tuju besar menuju temasya Olimpik Los Angeles 2028.

    Juara dunia 2022 yang bergandingan dengan Soh Wooi Yik itu turut menegaskan, pengalaman beraksi dalam kejohanan ternyata tidak sama dengan sesi latihan walaupun berdepan risiko kecederaan.

    “Saya sendiri memang suka bermain dalam banyak kejohanan walaupun sudah berusia 28 tahun untuk mengekalkan feeling on court. Sebab itu saya akan all out tapi menang atau kalah itu perkara kedua.

    “Ketika latihan memang lain walaupun bagi 100 peratus, 200 peratus tapi pada kejohanan kadangkala hanya boleh keluarkan 50 peratus sebab semasa kejohanan, kita akan gementar, apatah lagi bila lawan kita lebih menyerlah.

    “Tapi itu bukan bermakna saya tidak mahu menang,” katanya kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia hari ini.

    Dalam masa sama, Aaron mengakui sukar untuk menerima definisi sudah berada dalam kelompok beregu ‘terbaik’ apabila dirinya masih ‘dahagakan’ pencapaian.

    “Semua pemain ada definisi ‘terbaik’. Mungkin bagi saya, kalau nak cakap terbaik, saya kena ambil Juara Dunia, pingat Olimpik dan semua kejohanan besar yang disertai.

    “Namun, pemain lain mungkin berbeza pandangan. Sememangnya saya sendiri belum puas,” katanya.

    Aaron-Wooi Yik dijadual bertemu gandingan Denmark Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard pada saingan Terbuka Artik 2025 yang berlangsung dari 7 hingga 12 Oktober ini. – Bernama

    Aaron Chia mengakui dirinya lebih gemar beraksi dalam banyak kejohanan sebagai persiapan menuju Olimpik Los Angeles 2028. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda