Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mac – Persekutuan Lawan Pedang Brunei Darussalam (BDFF) akan menganjurkan Brunei Open Fencing Championship 2019 selama dua hari bermula 30 Mac 2019 bertempat di Pusat Belia di Ibu Negara.
Sehubungan dengan itu, petang tadi telah diadakan sidang media mengenai pertandingan berkenaan yang disampaikan oleh Pengarah Teknikal BDFF, Awang Huzaimi bin Haji Abdul Kassim yang diadakan di Pusat Belia.
Menurut Awang Huzaimi, seramai lebih 80 orang peserta akan menyertai kejohanan berkenaan terdiri daripada peserta dari dalam dan luar negara seperti dari Malaysia, Indonesia dan Australia.
Kejohanan akan dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu kategori lelaki dan wanita dalam acara Foil, Epee dan Sabre yang mana hanya mempertandingkan acara individu.
Dalam sidang media berkenaan, Awang Huzaimi turut menjelaskan objektif diadakan pertandingan tersebut adalah bagi mempersiapkan, membentuk serta memberi pendedahan kepada pemain-pemain acara lawan pedang di negara ini untuk bersaing bersama peserta dari luar negara.

Selain itu melalui pertandingan ini ia diharap dapat memberi pendedahan dan memperkenalkan lagi sukan lawan pedang ini kepada para pengunjung dan masyarakat di negara ini.
Selain itu, orang ramai adalah dialu-alukan bagi sama-sama menyaksikan dan memeriahkan pertandingan berkenaan serta memberi sokongan kepada para pemain lawan pedang negara yang menyertai pertandingan berkenaan nanti.
Sementara itu salah seorang peserta kejohanan berkenaan yang turut bertanding dalam Kategori Epee, Awang Harrisman Ashady bin Haji Ali, 41 ketika ditemui pihak media turut memberikan nasihat dan kata-kata semangat buat para penggemar dan mereka yang berminat untuk menceburi dalam acara lawan pedang berkenaan agar tidak segan dan malu untuk berhubung secara langsung dengan pihak persatuan lawan pedang negara kerana orang ramai adalah dialu-alukan bagi menyertai sukan berkenaan yang amat berguna bagi meningkatkan tahap kecergasan dan kesihatan diri.
Bercakap mengenai persiapan beliau menghadapi kejohanan nanti, beliau menjalani latihan secara intensif sekurang-kurangnya tiga kali seminggu bagi mempersiapkan dirinya sebelum berentap bersama pemain daripada luar negara yang mana merupakan penglibatan kali pertama beliau.
Awang Harrisman Ashady yang baharu menyertai dan mempelajari sukan berkenaan lebih kurang tiga tahun yang lalu turut memberitahu kepada media bahawa dalam acara sukan lawan pedang, umur bukanlah penghalang bagi dirinya dan orang ramai untuk mula mempelajari dan melibatkan diri dalam sukan berkenaan.