Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Persekutuan Kendo Negara Brunei Darussalam (KFBD) telah mengadakan kejohanan mini sempena ulang tahun ke-20 penubuhannya di Pusat Belia kelmarin.
Haji Muhammad muncul sebagai juara bagi Kategori Shiai individu lelaki dalam kejohanan berkenaan dengan Anwarul Ariffien bin Hamzah menduduki tempat kedua. Manakala Muhd Zainul Arifin bin Mohd Jaffar meraih tempat ketiga dan Nurazrin bin Omar di tempat keempat.
Sementara itu dalam Kategori Iaido individu lelaki (Sword Kata), Anwarul Arriffien dinobatkan sebagai juara diikuti oleh Dinie Khairul Hilmi bin Haji Noordin meraih tempat kedua dan Azrin di tempat ketiga serta Zainul Ariffin menduduki tempat keempat.
Hadir selaku tetamu kehormat sekali gus menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dayang Mariam binti Ulat.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Presiden KFBD, Pengiran Alimin bin Pengiran Haji Metussin.
“Persekutuan Kendo Negara Brunei Darussalam ditubuhkan pada 15 Jun 2001 dan tahun ini menyambut ulang tahunnya yang ke-20 tahun.
“Kendo mewakili sumbangan kami kepada Negara Brunei Darussalam dalam membimbing para pemuda dan juga mereka yang berminat dalam sukan ini,” kata Pengiran Alimin.
“Saya berharap para atlet dapat memanfaatkan kejohanan yang diadakan ini. Saya juga berharap lebih banyak kejohanan akan dijalankan oleh persatuan pada masa akan datang,” jelas Dayang Mariam.
Beliau juga menyeru atlet kendo untuk mengambil kesempatan dan menggunakan kejohanan itu sebagai platform untuk meningkatkan kemahiran mereka.
