Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Kejohanan Pingpong KKBS labuh tirai

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Bahagian Kebudayaan dan Kesenian telah mengadakan Kejohanan Pingpong antara Rumah KKBS yang diadakan selama dua hari iaitu pada 24 dan 26 November di Kompleks Sukan Tutong.

    Kejohanan tersebut adalah salah satu usaha KKBS melalui jabatan-jabatan di bawahnya untuk menjadikan aktiviti-aktiviti sukan bukan hanya semata-mata bagi kecemerlangan tetapi juga untuk kecergasan, kesihatan fizikal dan mental serta perpaduan dalam kalangan warga KKBS.

    Ia adalah salah satu program tahunan anjuran KKBS dan dikendalikan oleh jabatan-jabatan di bawahnya dengan kerjasama persekutuan-persekutuan dan persatuan-persatuan sukan kebangsaan Negara Brunei Darussalam bagi sukan-sukan yang dipertandingkan.

    Kejohanan tersebut menampilkan tiga kategori iaitu kategori Berpasukan Lelaki Berpengalaman, Berpasukan Lelaki Tidak Berpengalaman dan Berpasukan Wanita yang akan menggunakan format pusingan robin dan sistem best of 5 games yang mana kategori Berpasukan Lelaki Berpengalaman mempertandingkan perlawanan perseorangan dan beregu; kategori Berpasukan Lelaki Tidak Berpengalaman mempertandingkan perlawanan perseorangan; dan kategori Berpasukan Wanita pula mempertandingkan perlawanan perseorangan dan beregu.

    Setiap pasukan dibahagikan kepada lima pasukan rumah yang terdiri daripada rumah Silubang Bangsi (kuning), Arap Gagati (biru), Bunga Putar (merah), Liputan Madu (ungu) dan Sukma Indera (hijau).

    Antara aksi peserta yang mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut di Kompleks Sukan Tutong. – GAMBAR SERAHAN JAWATANKUASA KEJOHANAN PINGPONG ANTARA RUMAH KKBS

    Juara bagi Kategori Berpasukan Lelaki Berpengalaman dimenangi oleh Rumah Sukma Indera, diikuti oleh Rumah Bunga Putar di tempat kedua dan Rumah Arap Gagati di tempat ketiga.

    Manakala Rumah Bunga Putar memenangi kategori Berpasukan Lelaki Tidak Berpengalaman, diikuti oleh Rumah Arap Gagati di tempat kedua dan Sukma Indera di tempat ketiga.

    Sementara itu, kategori Berpasukan Wanita dimenangi oleh Rumah Liputan Madu, Rumah Sukma Indera di tempat kedua dan Rumah Silubang Bangsi di tempat ketiga.

    Antara lain tujuan kejohanan tersebut diadakan adalah untuk memberikan peluang kepada para pegawai dan kakitangan KKBS di semua peringkat dan bahagian supaya bergiat aktif dalam aktiviti-aktiviti sukan dan riadah, di samping sebagai salah satu usaha untuk memupuk perpaduan dan kerjasama dan mengeratkan hubungan silaturahim sesama pegawai dan kakitangan.

    Antara acara yang turut dipertandingkan termasuk badminton, futsal, sepak takraw, boling sepuluh pin serta permainan congkak dan permainan Pasang.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...