BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah petang ini berkenan berangkat menyaksikan Kejohanan Renang Brunei ke-25 bagi Kumpulan Umur yang berlangsung di Kompleks Renang Kebangsaan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah di Berakas.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda Duli Yang Teramat Mulia, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman.
Dalam kejohanan tersebut, anakanda Duli Yang Teramat Mulia, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim berkenan menyertai Kategori 50m Kuak Dada dengan catatan masa 56 saat.


Lebih 300 perenang mewakili 14 buah pasukan yang terdiri daripada perenang dari Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Labuan, Sabah, Sarawak dan Miri menyertai kejohanan selama tiga hari yang berakhir hari ini.
Sementara itu pada sebelah pagi tadi, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan berangkat menyaksikan kejohanan tersebut di mana YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim berkenan mewakili Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) dalam acara 100m Gaya Bebas dan 100m Kuak Dada.