Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Mac – Kejohanan Pencak Silat Remaja Terbuka Kebangsaan Brunei Darussalam Tahun 2019 membuka tirainya hari ini dengan Majlis Pembukaannya yang berlangsung petang tadi bertempat di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Sebanyak 11 buah pasukan menyertai Kejohanan Pencak Silat Remaja Kebangsaan pada tahun ini, yang terdiri daripada Pertubuhan Seni Warisan Pelangi, Pertubuhan Seni Silat Gerak 41, PERPANSIB, Pertubuhan Seni Silat
Kembang Goyang, Pertubuhan Gagak Hitam (PERGAH), Pertubuhan Panca Sukma, Skim Jabatan Belia dan Sukan cawangan Tutong, Pertubuhan Seni Silat Betawi 3, Pencak Silat Sekolah Sukan, Persatuan Pencak Silat Kebangsaan Wilayah Persekutuan Labuan dan Rumpun Silat Sarawak Wilayah Lawas.
Majlis pada petang tadi terlebih dahulu dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan beramai-ramai. Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan majlis pembukaan berkenaan ialah Yang Di-Pertua Persekutuan Pencak Silat Kebangsaan Brunei Darussalam, Pengiran Haji Mohammad bin Pengiran Haji Ludin.
Setelah tetamu kehormat diperkenalkan kepada para pengurus pasukan, peserta dan wasit atau juri dan juga hakim pertandingan, acara kemudiannya diteruskan dengan menyaksikan pembacaan ikrar pesilat yang dipimpin oleh Mohd Mahadir @ Danish Naqiuddin bin Mahmud sementara bacaan ikrar wasit atau juri dipimpin oleh Tuan Haji Salleh bin Haji Malan.
Sementara itu, Persembahan Pembukaan Gelanggang pula dipersembahkan oleh Mohd Hasbol Hadi bin Awang Sisah.
Acara turut diserikan dengan menyaksikan persembahan silat daripada PERGAH.
Pada hari ini, sebanyak empat kategori pertandingan silat peringkat akhir turut diadakan iaitu bagi acara Tunggal Wanita, Ganda Lelaki, Ganda Wanita dan Tunggal Lelaki.
