BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-73 tahun, Persatuan Raket Skuasy Brunei (BSRA) akan menganjurkan kejohanan skuasy dari 23 hingga 25 Ogos nanti.
Kejohanan yang akan diadakan di Pusat Skuasy Kebangsaan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas itu dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Terbuka Lelaki, Lelaki (berumur 45 tahun ke atas) dan Terbuka Wanita. Borang pendaftaran boleh diperolehi dari kaunter tiket di Pusat Skuasy Kebangsaan yang dibuka setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 9 malam.
Kejohanan tersebut disokong oleh Jabatan Belia dan Sukan dan ditaja oleh Dapur RYSYA dan Sportsfinessebn.