Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kejohanan taekwondo pupuk semangat kesukanan, perpaduan

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OGOS – Kejohanan Taekwondo Piala Duta Korea ke-5 Brunei Darussalam telah diadakan di Pusat Belia, baru-baru ini sebagai menandakan sambutan yang amat bermakna dalam semangat kesukanan, kemahiran dan persahabatan antarabangsa antara Brunei, Korea dan Malaysia.

    Di kejohanan tersebut, juara Kyorugi (sparring) telah dimenangi oleh United Taekwondo Gym, manakala Poomsae telah dijuarai oleh Han Loong, sementara juara bagi Hanmadang disandang oleh Apex Taekwondo.

    Presiden Persatuan Taekwondo Brunei Darussalam (BDTA), Haji Tajuddin bin Haji Mohd Salleh di acara itu merakamkan setinggi penghargaan kepada Duta Republik Korea ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Nahmkook Sun atas kejayaan bersama menganjurkan kejohanan taekwondo tersebut.

    Beliau turut melahirkan rasa bangga terhadap usaha dan persembahan semua atlet yang mengambil bahagian dan seterusnya menjelaskan, sama ada menang atau kalah, beliau berbangga dengan setiap seorang daripada atlet di kejohanan tersebut.

    “Kepada para pemenang diucapkan tahniah atas kerja keras dan dedikasi yang ditunjukkan, manakala kepada yang belum berjaya naik ke podium kali ini, anggaplah ini sebagai satu pengalaman yang berharga, pelajari daripadanya dan bangkit semula dengan lebih kuat,” jelasnya.

    Piala Duta Korea ke-5, 2025 bukan sekadar satu pertandingan tetapi ia adalah satu perayaan perpaduan, disiplin dan pertukaran budaya.

    Kejohanan yang telah menghimpunkan lebih 300 atlet dari Brunei dan Malaysia itu diadakan sempena ulang tahun ke-41 hubungan diplomatik antara Brunei dan Korea Selatan, sekali gus memupuk perpaduan melalui minat yang sama terhadap sukan taekwondo.

    TYT Nahmkook Sun bergambar ramai bersama United Taekwondo Gym selaku juara Kyorugi dan Pemain Kyorugi Wanita Terbaik, Claral Goh. – GAMBAR SERAHAN BDTA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda