Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Lily & Dahlia Kitchen Enterprise dengan kerjasama Persatuan Bola Jaring Kebangsaan Brunei Darussalam menganjurkan Kejohanan Terbuka Bola Jaring iaitu bagi Kategori Lelaki dan Kategori Wanita yang berlangsung di Dewan Serba Guna Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, kelmarin.
Kejohanan Terbuka ini bermula dengan menyaksikan perlawanan bagi Kategori Wanita pada sebelah pagi, di mana sebanyak enam pasukan wanita yang terdiri daripada Pasukan MS ABDB, Target, Doppleganger, Foxx Warriors, Stallions dan Sixty9 telah menyertai kejohanan tersebut.
MS ABDB muncul juara bagi Kategori Wanita selepas memenangi semua perlawanan yang mengikuti format liga, sementara itu naib johan pula disandang oleh Pasukan Target dan Pasukan Doppelganger berada di tempat ketiga.
Bagi Kategori Lelaki, kejohanan pusingan awal bermula pada sebelah petang, di mana 10 pasukan bertanding di dalam dua Kumpulan iaitu Kumpulan A dan Kumpulan B. Sementara itu, empat lagi pasukan dari negara jiran Malaysia iaitu Pasukan MMNC dari Melaka, Victory Sabah, Revolution A dan Revolution B dari Kuala Lumpur telah ikut serta dalam kejohanan tersebut.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi menyaksikan perlawanan peringkat akhir bagi Kategori Lelaki dan seterusnya berkesudian menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.
