Saturday, February 8, 2025
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kejohanan Unified Bocce berjaya pupuk minat pelajar

    Oleh Ak Zaki Kasharan – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OGOS – Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Khas dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Kokurikulum dan Olimpik Khas Brunei Darussalam (SOBD) pada hari ini telah mengadakan Majlis Penutup Kejohanan Unified Bocce Sekolah-sekolah Menengah Senegara kali ke-2 di Dewan Sekolah Menengah Lambak Kiri (SMLK).

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman.

    Turut hadir ialah ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai dari Jabatan Pendidikan Khas dan Jabatan Pendidikan Kokurikulum, pemimpin sekolah, guru-guru, serta wakil-wakil dari Majlis Paralimpik Brunei, SOBD dan Persatuan Volunteer and First Aid Support Team Brunei.

    Kejohanan yang berlangsung dua hari itu disertai oleh 26 pasukan dari sekolah-sekolah menengah kerajaan. Setiap pasukan diwakili oleh empat orang ahli yang terdiri daripada tiga orang pelajar berkeperluan khas dan seorang tenaga pengajar program pra-vokasional.

    Majlis dimulakan dengan pertandingan peringkat akhir di antara empat buah pasukan diikuti dengan penyampaian sijil penghargaan dan hadiah kepada para pemenang yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.

    Gambar ramai Awang Aliuddin dengan para pemenang bersama pingat dan piala masing-masing semasa majlis tersebut. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan

    Pasukan SMLK telah mendapat pingat emas dan dianugerahkan piala pusingan serta piala kemenangan Unified Bocce. Pingat perak jatuh kepada Pasukan Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah. Manakala, Pasukan Sekolah Menengah Berakas dan Sekolah Menengah Menglait masing-masing mendapat pingat gangsa.

    Sementara itu, pemain terbaik keseluruhan bagi kejohanan tahun ini jatuh kepada Awang Mohd Danish Aliuddin bin Mohd Norizan dari SMLK.

    Antara tujuan kejohanan ini adalah bagi mewujudkan dan memupuk minat serta mencungkil bakat pelajar berkeperluan khas dalam sukan bocce dan sukan lain secara umum. Selain itu, ia juga diadakan sebagai salah satu usaha untuk memupuk persahabatan dan pemahaman tentang nilai perbezaan dan kepelbagaian dalam kalangan pelajar dan masyarakat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda