TOKYO, 1 SEPT – Kejuaraan golf Zozo Jepun, yang dilancarkan tahun lalu dan dimenangi oleh Tiger Woods, telah dipindahkan ke California kerana sekatan COVID-19, justeru membatalkan kejohanan ‘Asian Swing’ bernilai AS$30 juta Jelajah PGA AS 2020,umum penganjur hari ini.
Acara itu dijadualkan berlangsung dari 22 hingga 25 Oktober tetapi kini akan diadakan di Sherwood Country Club di Thousand Oaks, California, pada tarikh yang sama tetapi tanpa penonton.
Dengan hadiah bernilai AS$29.75 juta, Jelajah PGA Asian Swing telah menjadi kemuncak kalendar golf Asia beberapa musim kebelakangan ini. Tetapi Piala CJ Korea Selatan pada 15 hingga 18 Oktober minggu lalu dipindahkan dari Pulau Jeju ke Las Vegas dan Kejuaraan golf WGC-HSBC dari 29 Oktober hingga 1 November kemungkinan akan dibatalkan.
Kejohanan Shanghai bernilai AS$10.25 juta telah diragui sejak pihak berkuasa China mengharam hampir semua acara sukan antarabangsa sepanjang tahun ini untuk mencegah wabak COVID-19.
“Jelajah PGA telah menyimpulkan bahawa adalah mustahil untuk membawa pemain untuk bertanding di Jepun,” kata satu kenyataan.
Jepun pada dasarnya telah menutup sempadannya kepada orang asing dalam usaha untuk mengurangkan risiko jangkitan koronavirus.
Wabak ini telah memaksa penangguhan satu tahun Sukan Olimpik Tokyo tetapi beberapa sukan profesional di Jepun seperti bola keranjang dan bola sepak mula membenarkan jumlah penonton yang terhad. – AFP