Kejuaraan MotoGP Dunia umum kalendar bagi 2022

PARIS, 8 OKT – Kejuaraan MotoGP Dunia mengumumkan kalendar bagi musim depan yang bakal membabitkan 21 perlumbaan termasuk buat pertama kalinya di Litar KymiRing, Finland dan Mandalika, Indonesia.

Marc Marquez dan Fabio Quartararo bersama pelumba lain bakal memulakan saingan musim depan di Qatar pada 6 Mac 2022 dan dijadual mengakhiri perlumbaan di Litar Ricardo Tormo Valencia pada 6 November.

Selain perlumbaan di dua litar baharu, kalendar musim depan juga akan menyaksikan lima lokasi bukan di Eropah turut disenaraikan semula selepas dibatalkan tahun ini akibat pandemik COVID-19.

Lokasi berkenaan adalah di Argentina, Jepun, Thailand, Australia dan Malaysia. Finland dan Indonesia sebelum ini sepatutnya sudah memulakan perlumbaan pada musim 2020, namun ditangguhkan akibat masalah pandemik. – AFP