ALOR SETAR, 5 NOV – Kejuaraan Silat Terbuka Kebangsaan Malaysia dan Jemputan Antarabangsa 2024 yang berakhir malam tadi disifatkan berjaya memberi impak positif yang sangat besar dalam persilatan khususnya kepada negeri ini.
Penaung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Kedah, Datuk Zuraidi Rahim berkata penganjuran kejuaraan selama empat hari itu telah menonjolkan bakat-bakat baharu yang berpotensi menjadi pelapis untuk mewakili negeri dan negara di peringkat yang lebih tinggi.
“Kalau kita tengok kejuaraan ini berlangsung selama empat hari untuk memilih bakat-bakat baharu dari usia lima tahun sehingga ke peringkat dewasa ataupun remaja, kita lebih fokus untuk ke Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
“Kehadiran pesilat-pesilat dalam kejuaraan ini, kita telah nampak hasil ada bakat-bakat baharu yang memang versatil, maknanya yang boleh melakukan satu transformasi dalam dunia silat ini, khususnya di negeri Kedah untuk mewakili Kedah di peringkat kebangsaan dan juga dalam peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis penutupan kejuaraan itu di Stadium Sultan Abdul Halim malam tadi.
Menurut beliau, kejuaraan silat terbesar di negeri itu sejak kira-kira 23 tahun lalu itu, yang turut mendapat penyertaan pesilat dari beberapa negara Asean akan dijadikan acara tahunan Pesaka Kedah sebagai medan mencungkil bakat-bakat baharu sukan silat.
“Pada tahun hadapan saya akan buat satu penganjuran kejuaraan ini dengan skala yang lebih besar dengan jemputan di peringkat antarabangsa yang lebih menarik dan lebih agresif daripada Eropah dan sebagainya untuk kita tampilkan mereka ini datang ke bumi bertuah di negeri Kedah,” katanya.
Sementara itu, Zuraidi berkata perancangan Pesaka Kedah untuk menubuhkan sebuah akademi silat di negeri ini akan dilaksanakan secepat mungkin bagi menyediakan sebuah prasarana untuk pembangunan sukan silat. – Bernama