Monday, March 31, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kejujuran dasar terbaik untuk hubungan memuaskan

    “Awak rasa ini sesuai dengan saya?” Soalan ini boleh menjadi rumit dalam mana-mana hubungan. Menjawabnya dengan jujur boleh berisiko, terutamanya jika pakaian yang dipilih tidak menepati cita rasa awda.

    Sebaliknya, berbohong boleh menghakis kepercayaan dalam jangka panjang. Satu kajian di Amerika Syarikat, yang diterbitkan dalam jurnal Social Psychological and Personality Science, menilai kebaikan dan keburukan situasi ini.

    Adakah kejujuran mengukuhkan sesuatu hubungan atau sebaliknya melemahkannya?
    Satu pasukan penyelidik yang diketuai oleh Bonnie Le, penolong profesor psikologi di Universiti Rochester, cuba menjawab persoalan ini.

    Bagi tujuan tersebut, penyelidik meminta lebih daripada 200 pasangan untuk berbincang secara bersemuka mengenai satu topik sensitif, iaitu perubahan yang mereka ingin lihat pada pasangan mereka.

    Objektifnya adalah untuk menganalisis kesan kejujuran yang dinyatakan, cara ia diterima, serta keupayaan pasangan menilainya dengan tepat.

    Memberitahu kebenaran boleh memberi manfaat kepada kesejahteraan pasangan. – AFP

    KESAN POSITIF

    Menurut pasukan penyelidik, bercakap jujur mempunyai kesan positif terhadap kesejahteraan pasangan, walaupun ia kadangkala menyakitkan.

    “Kami mendapati bahawa lebih jujur dalam menyatakan perubahan yang diingini meramalkan kesejahteraan peribadi dan hubungan yang lebih baik untuk kedua-dua pasangan, serta meningkatkan motivasi pasangan untuk berubah pada saat itu.

    Corak yang sama juga muncul apabila individu yang menerima permintaan untuk berubah mengesan kejujuran dalam pasangan mereka, tanpa mengira sama ada pasangan mereka benar-benar jujur atau tidak,” jelas Bonnie Le dalam satu kenyataan akhbar.

    Dalam erti kata lain, walaupun kejujuran tidak selalu difahami atau dinilai dengan tepat, usaha untuk bersikap tulus dapat mengukuhkan dinamik hubungan. Malah, usaha untuk berkata benar mungkin sama pentingnya jika tidak lebih daripada ketepatan mutlak dalam penyampaiannya.

    Namun, penemuan ini hanya terpakai kepada pasangan yang berada dalam hubungan yang baik. Kajian ini tidak menyatakan sama ada corak yang sama akan berlaku bagi pasangan yang sedang menghadapi masalah.

    Penyelidikan lanjut boleh dilakukan untuk menilai kesan kejujuran terhadap pasangan yang sedang berdepan dengan krisis.

    Buat masa ini, sains jelas menunjukkan bahawa untuk menjalin hubungan yang memuaskan, lebih baik bersikap jujur, walaupun kebenaran itu kadangkala menyakitkan. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda