Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kejutan awal pagi, rumah dimasuki air banjir

    Oleh Sim Y. H.-

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 DIS – Sebuah keluarga terkejut apabila mendapati rumah mereka dimasuki air setelah terjaga daripada tidur susulan kejadian hujan lewat pada awal pagi tadi di Kampung Sungai Bera, Seria.

    Mengulas mengenai kejadian berkenaan kepada Media Permata, Dayang Andam menceritakan bahawa sekitar pukul 1 pagi hingga 3 pagi, hujan turun dengan lebat dan kira-kira pukul 5 pagi, beliau dikejutkan oleh anak lelakinya yang menyatakan bahawa rumah mereka telah dimasuki air.

    Beliau menyatakan bahawa apabila keluar dari bilik untuk melihat keadaan, mendapati air sudah bergenang memasuki tingkat bawah rumah yang meliputi ruang tamu, ruang makan, dapur dan bilik pembantu rumah.

    Setelah hujan berhenti, tambahnya, air banjir kilat berkenaan surut dengan pantas namun air yang telah memasuki ke dalam rumah, terpaksa dikeluarkan dengan bantuan pam daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP).

    Dayang Andam berkata bahawa beliau telah menetap di rumah berkenaan selama lebih 30 tahun di mana rumah berhampiran jalan itu, dahulu pernah mengalami kemasukan air tetapi ia hanya sedikit sahaja, jauh berlainan daripada kejadian awal pagi tadi.

    Beliau yang menetap di rumah berkenaan bersama anak-anak serta cucunya dan juga seorang pembantu rumah, berkata bahawa mereka telah menghubungi JBP untuk meminta bantuan mengepam air keluar dari rumah berkenaan.

    Beliau menyatakan penghargaan atas tindakan pantas anggota bomba dan penyelamat khususnya dari Balai Bomba dan Penyelamat Seria yang hadir untuk membantu mengeluarkan air dan turut sama-sama membantu dalam kerja-kerja membersihkan rumah.

    Dalam kejadian banjir kilat berkenaan, beliau berkata, beberapa barangan perabot, permaidani dan juga barangan seperti buku telah mengalami kerosakan kerana ditenggelami air yang terpaksa dibuang.

    Beliau berkata bahawa mereka sekeluarga berusaha untuk membersihkan rumah dan bagi memilih barangan rumah yang masih boleh digunakan. Ia merupakan satu peristiwa yang sungguh tidak disangkakan dan menjadi kenangan menjelangnya 2024, tambahnya.

    Ahli keluarga membersihkan ruang tamu yang dimasuki air dalam kejadian banjir kilat awal pagi kelmarin. – GAMBAR SERAHAN NIYUN
    Anggota bomba dan penyelamat menggunakan pam untuk membantu mengeluarkan air banjir yang memasuki sebuah rumah di Kampung Sungai Bera, Seria, kelmarin. – GAMBAR SERAHAN NIYUN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda