ARGENTEUIL, 24 APRIL – Berbekalkan 4,000 biji telur serta satu lori penuh gula dan krim, para cef pastri Perancis kelmarin berjaya menyiapkan kek strawberi sepanjang 121.8 meter (399 kaki 8 inci), yang mereka dakwa sebagai kek strawberi terpanjang di dunia setakat ini.
Chef Youssef El Gatou mengetuai 20 chef untuk menghasilkan karya seberat 1.2 tan itu, yang mengambil masa seminggu untuk disiapkan. Kek tersebut dipamerkan di atas meja-meja di gelanggang luncur ais di bandar Argenteuil, pinggir Paris, untuk tontonan penduduk tempatan.
Rekod baharu ini mengatasi kek strawberi sepanjang 100.48 meter (329 kaki 7 inci) yang dihasilkan di San Mauro Torinese, Itali, pada tahun 2019.

Untuk menyiapkan kek raksasa ini, El Gatou dan pasukannya menggunakan 350 kilogram strawberi, 150kg gula dan 415kg krim. Menurut isterinya, Nadia El Gatou, proses penyediaan sangat mencabar hingga mereka terpaksa menggunakan penembak api untuk memanaskan mangkuk campuran krim.
Bagi melayakkan kek tersebut dimasukkan ke dalam Buku Rekod Guinness, kek perlu mempunyai ukuran sekurang-kurangnya 8 sentimeter lebar dan 8 sentimeter tinggi.
“Saya memang dah lama bercita-cita nak cipta satu rekod sejak kecil lagi,” kata El Gatou kepada AFP. “Saya cari satu produk, satu pastri Perancis dan saya juga mahu ketengahkan hasil pertanian seperti strawberi tempatan, susu, krim dan mentega.”
Penduduk Argenteuil yang hadir untuk melihat kek ‘berkalori tinggi’ itu pada Rabu turut diberi peluang membawa pulang sepotong kek sebagai kenang-kenangan. –AFP