Oleh Afiq Zainuddin –
Kek batik merupakan pencuci mulut yang sangat sesuai dan paling mudah untuk dihasilkan dan dihidangkan pada bila-bila masa.
Dengan tekstur yang lembut dan manis ia menjadi kesukaan ramai kanak-kanak malahan orang dewasa pun menggemarinya.
Walaupun bahan-bahanya ringkas dan cara penyediaannya juga mudah, namun ramai yang tidak tahu cara untuk membuatnya dan lebih cenderung untuk mengambil jalan mudah dengan membeli kek batik ini di kedai, gerai-gerai, pasar raya ataupun menempah dari penjual homebased.
Cara membuat kek batik ini tidak memerlukan peralatan untuk membuat kek seperti mixer dan ia tidak memerlukan masa yang lama untuk menghasilkannya.
Terdapat dua jenis resipi kek batik iaitu menggunakan telur atau tanpa telur. Kalau resipi yang menggunakan banyak telur, salutan kek batik akan kenyal dan tidak melekat. Ia juga perlu disediakan dengan mengikut sukatan yang betul. Jika tidak kek batik akan menjadi agak keras dan sukar untuk dikunyah.
Berkongsi secara ringkas antara bahan-bahan yang diperlukan untuk menghasilkan kek batik ialah 1 pek biskut Marie ataupun biskut pilihan yang awda gunakan, kemudian hancurkan, mentega, susu pekat manis, serbuk koko, coklat pekat (boleh menggunakan coklat masakan atau coklat pekat pek) dan sebagainya.
Yang pertama, cairkan mentega dalam periuk dengan api perlahan. Jenis mentega yang digunakan juga akan mempengaruhi rasa kek batik. Jika guna mentega tulen yang mahal, rasa akan lebih berlemak namun boleh juga jika digantikan mentega dengan majerin, sedap dan tiada sebarang masalah cuma rasa kek batik akan sedikit berbeza.
Setelah mentega cair, tambahkan coklat pekat ke dalam periuk dan kacau sehingga coklat sepenuhnya melebur dengan mentega. Selepas itu, tambahkan susu pekat manis dan serbuk koko ke dalam adunan coklat. Kacau rata sehingga adunan menjadi pekat.
Selepas itu guna api yang sangat perlahan, masukkan biskut yang telah dipatahkan ke dalam adunan coklat. Pastikan biskut itu tercampur rata dengan adunan. Pindahkan adunan ke dalam bekas yang telah dilapik dengan kertas baking supaya apabila sejuk nanti mudah untuk dikeluarkan. Tekan adunan dengan sendok atau spatula sehingga rata dan padat.
Selepas itu boleh tabur beras coklat atau kacang yang awda suka di bahagian lapisan paling atas dan kemudian sejukkan kek dalam peti sejuk untuk beberapa jam atau semalaman sehingga ia keras. Potong kek menjadi segi empat atau segi enam sebelum dihidangkan. Kek ini sangat sesuai untuk dimakan bersama keluarga ataupun sebagai hidangan untuk tetamu dan segala jenis keramaian. Selamat mencuba.
Bahan-bahan:
• 1 pek biskut Marie atau biskut pilihan awda (dipatahkan menjadi empat keping)
• 250g mentega/butter
• 200g serbuk Milo
• 3 sudu besar serbuk koko
• 3/4 tin susu pekat