Oleh Hajib Sarhan –
Kek Sarang Semut atau kek gula hangus, terkenal dengan tekstur berongga seperti sarang semut dan rasa karamel yang manis serta kaya. Resipi ini klasik dan mudah dihasilkan di rumah, sesuai untuk minum petang, majlis keluarga atau acara istimewa.
CARA PENYEDIAAN:
Mula-mula, sediakan gula karamel dengan memasak gula putih dengan api perlahan sehingga larut dan perang. Kemudian, masukkan air panas perlahan-lahan sambil dikacau hingga karamel larut sepenuhnya, kemudian ketepikan. Sementara itu, ayak tepung gandum bersama soda bikarbonat.
Seterusnya, cairkan mentega secara perlahan. Dalam mangkuk lain, pecahkan telur dan kacau perlahan sehingga sebati. Masukkan susu pekat dan kacau sebati, kemudian tuangkan mentega cair sedikit demi sedikit sambil diadun perlahan.
Tambahkan esen vanila dan gaul rata. Kemudian, masukkan karamel cair yang telah disediakan dan kacau hingga sekata. Tapis adunan untuk memastikan licin dan tiada ketulan, kemudian biarkan perap sekurang-kurangnya 1 jam.
Sediakan loyang yang telah disapu mentega dan dialas kertas baking. Tuangkan adunan kek ke dalam loyang dan bakar dengan api bawah sahaja pada suhu 160°C selama 20 minit. Selepas itu, tukar kepada api atas dan bawah dan teruskan membakar hingga kek masak sepenuhnya (anggaran 20 minit, bergantung kepada ketuhar awda). Uji kek dengan lidi, jika lidi keluar bersih, kek sudah masak.
TIP TAMBAHAN:
• Ketika mencampurkan bahan cair (telur, susu pekat, mentega) dengan bahan kering (tepung), mula kacau dari tengah supaya adunan sebati tanpa ketulan.
• Semasa 20 minit pertama membakar, gunakan api bawah dan letakkan loyang pada rak lebih tinggi untuk membantu membentuk lubang-lubang sarang semut yang cantik.
• Perap adunan semalaman jika mahu tekstur sarang semut yang lebih padat dan berbuih.
BAHAN-BAHAN:
Gula Karamel:
• 1 cawan (200g) gula putih
• 1 cawan (250 ml) air
Bahan Kek:
• Sedikit mentega (untuk sapuan loyang)
• 4 biji telur (saiz B)
• ½ cawan (153g) susu pekat manis
• ⅓ cawan (76g) mentega (cair)
• 1 cawan (125g) tepung gandum
• 2 sudu kecil soda bikarbonat (baking soda)
• 1 sudu kecil esen vanila








