Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Kek tapak kuda jadi rebutan di Malaysia

    IPOH – Kek tapak kuda yang dikatakan berasal dari Brunei menjadi sensasi di Malaysia dan jadi ‘rebutan’ dalam kalangan penggemar kek sejak ia tular di media sosial beberapa bulan lepas.

    Kek berbentuk bulat seperti baulu gulung namun akan kelihatan seperti tapak kuda apabila dihiris itu, mempunyai tekstur lembut di luar manakala di dalamnya berisi inti pelbagai jenis seperti krim coklat, nestum dan nutella. 

    Seorang pengusaha makanan berasaskan pencuci mulut, Nurul Rohaida Salleh, 39, berkata rasanya yang enak dan sedikit berbeza dengan kek biasa membuatkan ‘populariti’ kek tapak kuda naik dengan cepat hingga kedainya turut diserbu penggemar kek itu.

    Pengusaha Evas Food Station itu berkata sejak kek itu tular di media sosial, dia dapat menjual hingga 1,500 biji dalam sehari. 

    “Kek tapak kuda ini sebenarnya sudah lama ada tetapi dahulu intinya tidak banyak
    perisa. Sejak tular dan mendapat permintaan tinggi intinya semakin dipelbagaikan seperti ‘matcha crunchy’, ‘kinder bueno’ dan ‘biscoff’,” katanya ketika ditemui di kedainya di Meru Raya di sini baru-baru ini.

    Nurul Rohaida menunjukkan kek tapak kuda yang dijual di kedainya di Meru Raya. – Bernama

    Nurul Rohaida berkata buat masa ini kek tapak kuda yang dijual di kedainya diperoleh daripada lapan vendor termasuk dari Pulau Pinang, Johor, Melaka dan Selangor.

    Menurutnya kek tersebut didatangkan dalam pelbagai saiz dan dijual pada harga RM6 sebiji atau RM10 bagi dua biji kek bersaiz kecil, RM15 bagi saiz sederhana dan RM25 hingga RM35 untuk kek besar.

    “Berikutan permintaan yang meningkat, hasil jualan di kedai mencecah lebih RM30,000 dalam tempoh kurang sebulan,” katanya.

    Sementara itu, seorang vendor kek tapak kuda, Rosnani Muhamad, 47, yang merupakan pemilik perniagaan Anizz Cookies di Pulau Pinang, berkata kilangnya menghasilkan sebanyak 2,000 biji kek berkenaan setiap hari dengan separuh daripadanya dihantar ke Evas Food Station. 

    Menurutnya baki 1,000 biji lagi dihantar kepada ejen di tempat lain termasuk di Sungai Petani dan Alor Setar, Kedah.

    “Kami sudah lama menghasilkan kek tapak kuda ini secara sampingan cuma sekarang ia mendapat permintaan amat tinggi selepas tular baru-baru ini.

    “Jika dahulu hanya ratusan kek dihasilkan, kini saya terpaksa meningkatkan jumlahnya kepada ribuan kek dalam sehari dengan dibantu 15 pekerja,” katanya yang menghasilkan lima jenis inti kek tapak kuda. 

    Ditanya mengenai keistimewaan kek tapak kuda yang dihasilkan Anizz Cookies, Rosnani berkata dia menggunakan bahan penstabil kek atau ‘ovallette’ khas bagi memastikan kek yang dihasilkan lembut dan gebu. 

    “Intinya pula kita guna nestum untuk menghasilkan rasa rangup bersama krim coklat gelap, ‘matcha’ dan coklat putih yang berkualiti,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...