Oleh Nurdiyanah R.
Penularan wabak COVID-19 setentunya memberikan impak pada kehidupan harian masyarakat 360 darjah secara drastik, yang mampu mempengaruhi kesihatan psikologi dan mental.
Namun dalam kita meniti liku-liku cabaran pandemik dan kini tanah air sudah memasuki Fasa Peralihan, bukanlah bermaksud kita hanya ‘terpuruk’ tanpa melakukan apa-apa aktiviti yang bermanfaat. Kita juga perlu mengekalkan tahap kesihatan yang optimum dengan membuat aktiviti sihat bagi meliputi kebaikan fizikal mahu pun rohani sepertimana yang telah dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan.
Semasa Fasa Peralihan ini, kita tidak dilarang untuk melakukan pelbagai jenis sukan fizikal antaranya mendaki bukit dan berlari secara invidividu dan bukan secara berkumpulan, di samping itu juga dibenarkan beriadah bersama ahli keluarga namun perlu ditekankan juga, walaupun pelbagai kelonggaran sukan dan rekreasi dibenarkan olek pihak kerajaan tetapi jangan pula leka untuk sentiasa berwaspada dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Bersama peka dan patuhi SOP
Ke arah memasuki Fasa Peralihan ini, beberapa langkah penting perlu dipatuhi bagi menggunakan kemudahan dan menjalankan aktiviti kecergasan dan rekreasi semasa fasa tersebut dalam Rangka Kerja Pemulihan COVID-19 Kebangsaan.
Pendekatan ini adalah untuk memastikan pematuhan kepada langkah teras yang disenaraikan di bawah langkah-langkah kawalan COVID-19 dan memperkenalkan sekatan yang berbeza bagi individu sudah divaksinasi dan yang belum divaksinasi.
Sehubungan itu, semua premis kemudahan dan aktiviti kecergasan perlu memanfaatkan penggunaan aplikasi BruHealth dan mendaftar untuk mendapatkan kod QR BruHealth. Pemilik premis hendaklah memastikan semua individu atau pengguna yang memasuki premis mengimbas kod aplikasi BruHealth mereka sebelum memasuki premis berkenaan, termasuk semua pekerja dan kakitangan serta sukarelawan. Pemilik premis juga perlu memastikan hanya individu yang mempunyai kod BruHealth berwarna hijau dan kuning sahaja untuk dibenarkan masuk serta memeriksa kad pengenalan sebagai pengesahan.
Setiap kemudahan kecergasan dan rekreasi juga dikehendaki mempamerkan kapasiti maksimum di pintu masuk. Kemudahan dan aktiviti kecergasan hanya dibenarkan untuk beroperasi pada had 50 peratus kapasiti biasa.
Manakala protokol aktiviti dan kemudahan hanya membenarkan individu yang bervaksin sepenuhnya sahaja untuk masuk. Sementara sukan berpasukan hanya dibenarkan untuk latihan sahaja di mana tiada kontak fizikal dan sparring dibenarkan.
Dalam fasa ini turut menegaskan kepentingan kebersihan kemudahan dan semasa aktiviti bagi kecergasan dan rekreasi di mana pihak premis hendaklah melantik kakitangan untuk melaksanakan pembersihan dan pengemasan yang kerap setiap hari.
Ini dengan menggunakan disinfektan pada kawasan yang kerap disentuh seperti lif dan butang, tombol pintu, kotak surat, papan kenyataan, paparan digital, panel skrin sentuh serta meja dan kerusi di kawasan umum.
Selain itu, pemakaian pelitup muka juga dimestikan ke atas pengguna apabila berada dalam kemudahan dan dalam perkumpulan ramai. Pelitup muka hanya boleh dibuka apabila melakukan aktiviti sukan yang memenatkan dan harus dipakai semula dengan serta-merta setelah selesai melakukan aktiviti sukan dan fizikal.
Kolam renang juga hendaklah dipastikan konsentrasi klorin dalam air dikekalkan antara 1 dan 3ppm pada sepanjang masa dan mengingatkan pengguna kolam untuk mandi sebelum memasuki kolam selain memastikan perenang atau pelawat berada dalam keadaan sihat.
Bandarku Ceria kini kembali
Ibu negara kembali aktif pada pagi hujung minggu dengan Program Bandarku Ceria (BKC) bermula hujung minggu lepas, namun ia hanya dibenarkan bagi aktiviti riadah secara individu atau dalam jumlah kumpulan yang terhad.
Aktiviti berjaja bagaimanapun ditiadakan sehingga ke tarikh yang akan dimaklumkan kemudian. Program adalah berdasarkan Garis Panduan Fasa Peralihan yang membenarkan aktiviti-aktiviti riadah di kawasan terbuka, namun dalam jumlah yang terhad.
Dalam pada itu, pengunjung BKC dikehendaki mengikut garis panduan Fasa Peralihan yang sama dengan garis panduan bagi kemudahan, aktiviti kecergasan dan rekreasi antaranya lengkap dua dos vaksin, kod BruHealth hijau dan kuning, aktiviti riadah berkumpulan tidak melebihi 15 orang, memakai pelitup muka pada setiap masa kecuali ketika melakukan senaman atau kegiatan fizikal dan penjarakan fizikal semasa bersenam atau bersukan sekurang-kurangnya 1.5 meter antara individu serta tidak berkongsi minuman.
Sepanjang BKC Fasa Peralihan ini, jalan-jalan yang ditutup ialah Jalan McArthur, Jalan Pemancha, Jalan Pretty, Jalan Robert, Jalan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Jalan Elizabeth II, Jalan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Jalan Haji Basir, Jalan Stoney, Jalan Sekolah, Jalan Kumbang Pasang dan Jalan Perdana Menteri sehingga pusing keliling berdekatan Jabatan Perdana Menteri.