Friday, October 11, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kekal berdaya tahan hadapi perubahan iklim

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Dalam usaha untuk melindungi kesihatan manusia dan alam sekitar, Kementerian Kesihatan telah mengambil langkah signifikan dengan memperkenalkan Inisiatif Kelestarian selain turut menubuhkan Pasukan Petugas Iklim, Kesihatan dan Kelestarian di mana penubuhan membuktikan dedikasi kolektif dalam memastikan bahawa sistem penjagaan kesihatan negara kekal berdaya tahan dalam menghadapi perubahan iklim.

    Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Inisiatif Kelestarian, Pengiran Dr Noor Affizan binti Pengiran Haji Abdul Rahman dalam ucapan alu-aluannya pada Majlis Pelancaran Inisiatif Kelestarian Kementerian Kesihatan yang berlangsung di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Hadir untuk menyempurnakan pelancaran inisiatif berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar. Turut hadir Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Rafidah binti Haji Gharif, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan, jabatan-jabatan kerajaan serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perusahaan Sosial (SE).

    Dalam ucapannya lagi, Pengiran Dr Noor Affizan menyatakan peranan pasukan petugas berkenaan adalah untuk menyediakan panduan, sokongan dan kerjasama dengan semua pihak dalam kementerian bagi mencapai visi berkenaan.

    Mengulas mengenai Inisiatif Kelestarian, beliau menjelaskan ia merupakan asas utama transformasi iaitu usaha menyeluruh untuk menggabungkan amalan berdaya tahan dan kelestarian ke dalam amalan kesihatan kita.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham semasa melancarkan Inisiatif Kelestarian, kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham ketika menyaksikan pameran. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa menyampaikan lencana dan sijil lantikan kepada salah seorang penerima. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Pengiran Dr Noor Affizan semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Antara yang hadir pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    “Kami memulakan perjalanan ini dengan Misi Green Possible, satu aspirasi yang bercita-cita tinggi untuk mengubah hospital kita bagi menjadi hospital hijau di mana sahaja ia boleh dilaksanakan,” tambahnya.

    Pada majlis berkenaan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham telah menyempurnakan penyampaian lencana dan sijil lantikan kepada ahli-ahli Green Team sebagai pendorong inisiatif hijau dan kelestarian Kementerian Kesihatan yang terdiri daripada GreenPossible Team iaitu penguasa hospital, ketua pegawai eksekutif, pengarah dan sebagainya, Sekretariat bagi MOH Climate, Health and Sustainability Taskforce serta jururawat-jururawat kawalan jangkitan.

    Majlis juga diserikan dengan beberapa pameran dari Kementerian Kesihatan, jabatan-jabatan kerajaan serta NGO dan SE untuk mempamerkan sumbangan mereka dalam inisiatif kelestarian perubahan iklim.

    Pameran inovatif itu mengetengahkan amalan mesra alam, produk lestari dan usaha pengurangan sisa. Platform tersebut membolehkan vendor berkongsi komitmen mereka terhadap alam sekitar dan memberi inspirasi ke arah masa depan yang mampan.

    Dengan memperkenalkan inisiatif kelestarian yang akan dijalankan oleh Kementerian Kesihatan, ia dapat meningkatkan kesedaran dan penglibatan semua pihak berkepentingan termasuk kakitangan kesihatan, pesakit dan masyarakat umum, sekali gus menyumbang kepada pengurangan kos operasi jangka panjang, meningkatkan kualiti persekitaran hospital dan klinik serta menjaga kesejahteraan masyarakat.

    Di samping itu, inisiatif itu juga bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran dan penglibatan semua pihak yang berkepentingan, mewujudkan budaya kerja lebih prihatin terhadap alam sekitar dalam kalangan kakitangan kesihatan, membantu mencapai sasaran pengurangan karbon dan pengurusan sisa yang lebih baik serta Green Team yang ditubuhkan sebagai peneraju Inisiatif Kelestarian Kementerian Kesihatan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda