Kekal corak permainan pantas – penganalisis

KUALA LUMPUR, 28 MAC – Corak permainan pantas pasukan bola sepak negara di bawah kendalian Kim Pan Gon yang dilihat mirip pendekatan digunakan kebanyakan pasukan gergasi dunia perlu dikekalkan menjelang pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023, Jun ini.

Penganalisis sukan dan pemerhati bola sepak tempatan, Dr Pekan Ramli berkata taktikal cuba diterapkan Pan Gon pada dua aksi Persahabatan Antarabangsa Tier 1 baru-baru ini adalah corak permainan yang dituntut dalam era moden. Menurut beliau, apa boleh dilakukan Pan Gon untuk memaksimumkan potensi pasukan negara selepas ini adalah dengan membawa masuk pemain yang mempunyai atribut bersesuaian sekali gus dapat membantu jurulatih dari Korea Selatan itu mencapai objektif utamanya.

“Bagi saya, apa Kim Pan Gon cuba terapkan dah bagus tetapi kita faham dia perlukan sedikit masa lagi sebabnya kalau corak permainan pantas ini memerlukan kemahiran individu yang tinggi dari segi kawalan bola, hantaran dan daya pemikiran dalam permainan.

“Ada pemain memang tangkas dan mempunyai stamina bermain corak permainan pantas tetapi pemikiran dia lemah dan lambat (membuat keputusan) dalam padang, itu boleh merosakkan tempo permainan,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini. – Bernama