Kekal meringkuk seumur hidup

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Mahkamah Rayuan telah mengekalkan hukuman penjara seumur hidup terhadap Muhammad Zulkifli bin Abdul Jalil yang disabit bersalah menyebabkan kematian.

Yang Di-Pertua Mahkamah Rayuan, Hakim Peter Burrell yang bersidang bersama Hakim Conrad Seagroatt dan Hakim Michael Lunn bersetuju dengan keputusan ketua hakim dalam menjatuhkan hukuman ke atas Muhammad Zulkifli yang mengaku bersalah menyebabkan kematian Ispawi bin Idris, 43, di sebuah rumah di RPN Kampung Pandan 7, Kuala Belait, antara 3 hingga 3:30 petang pada 20 Mei 2015.

“Ketua hakim mempertimbangkan bahawa kes ini termasuk dalam lingkungan jenis kes homisid salah paling buruk tetapi tidak membunuh yang memperuntukkan hukuman maksimum,” mahkamah rayuan memutuskan.

Muhammad Zulkifli melakukan kesalahan itu bersama rakannya, Muhammad Hakimi Rizal bin Abdullah @ Eyan anak Beritin, 33, yang telah membunuh diri ketika dalam tahanan polis pada 2 Jun 2015.

Melihat keseriusan kesalahan yang dilakukan, Ketua Hakim Dato Seri Paduka Steven Chong telah menjatuhkan hukuman maksimum penjara seumur hidup terhadap tertuduh pada Mei lalu.

Fakta kes pihak pendakwaan menyebut bahawa sekitar Mei 2015, kedua-dua defendan merangka pelan untuk mewujudkan profil wanita palsu pada AsiaFreeChat (AFC) untuk menipu pengguna meminjamkan wang $3,500 kepada ‘wanita’ berkenaan.

Defendan membuat akaun di AFC menggunakan telefon bimbitnya, memuat naik gambar seorang wanita dan menggunakan nama profil ‘Meeza’. Mangsa menghubungi ‘Meeza’ pada pagi 19 Mei 2015 dan mempercayai bahawa ‘wanita’ berkenaan bersetuju untuk melakukan hubungan seks dengannya sebagai pertukaran bagi wang.

Mangsa pergi ke rumah berkenaan pada petang hari berikutnya untuk bertemu ‘Meeza’.
Sebaik tiba, mangsa diberitahu oleh defendan bahawa ‘Meeza’ adalah saudara kandung perempuannya dan ‘dia’ sedang mandi. Defendan kemudian pergi ke dapur untuk mendapatkan air yang dicampurkan dengan pil tidur dan memberikannya kepada mangsa.

Mangsa tidak meminum air berkenaan. Dia meminta defendan untuk memberitahu ‘Meeza’ supaya ‘cepat’. Defendan naik ke tingkat atas untuk memaklumkan rakannya bahawa mangsa semakin tidak sabar.

Defendan turun semula ke bawah dan memberitahu mangsa bahawa ‘Meeza’ akan turun tidak lama lagi.

Sementara mangsa duduk di atas kerusi berhadapan dengan defendan, rakan defendan masuk ke bilik tamu dan menyerang mangsa dari belakang, memukul belakang lehernya beberapa kali menggunakan batang besi sehingga pengsan.

Menyedari mangsa masih bernafas, defendan terus memukul kepalanya dengan botol penyembur rambut dan batang besi yang digunakan rakannya sebelum itu.

Rakan defendan juga menggunakan picagari untuk menyuntik mangsa dengan racun rumput dan menetak lehernya dengan parang.

Kedua-dua defendan kemudian menutup mayat mangsa dengan plastik sampah selepas mengambil kad bank, telefon bimbit dan kunci kereta serta meletakkan mayat mangsa di tempat duduk penumpang belakang.

Rakan defendan memandu kereta berkenaan ke kawasan letak kereta di belakang sebuah kafe dekat Jalan Pandan 7 dan meninggalkan kereta berkenaan. Defendan, yang mengikuti rakannya dengan kereta lain, mengambilnya dan memandu balik ke rumah tersebut.

Selepas membersihkan kesan darah mangsa dari pelbagai barangan di rumah itu pada hari sama, kedua-dua defendan pergi ke ATM sebuah cawangan bank di Seria dan cuba mengeluarkan wang tunai daripada akaun mangsa menggunakan kad banknya, tetapi mendapati bahawa tiada wang dalam akaun berkenaan.

Mayat mangsa ditemui selepas seorang kakitangan kafe tercium bau yang datang dari kereta ditinggalkan berkenaan dan membuat laporan polis pada 23 Mei 2015.

Rakaman CCTV dari cawangan bank di Seria menunjukkan kedua-dua defendan cuba mengeluarkan wang daripada akaun mangsa pada hari berkenaan yang membawa kepada penahanan mereka dua hari kemudian.

Laporan bedah siasat menunjukkan mangsa meninggal dunia disebabkan pendarahan daripada kecederaan di leher.

Pendakwaan dijalankan oleh timbalan-timbalan pendakwa raya Shamshuddin bin Haji Kamaluddin dan Siti Nurjauinah binti Haji Kula.

Manakala itu, Peguam Ahmad Basuni Abas dan Peguam Rozaiman Abdul Rahman mewakili Muhammad Zulkifli semasa perbicaraan dan permohonan rayuan.