Oleh Yusrin Junaidi
Penularan wabak COVID-19 telah merubah kehidupan harian masyarakat 360 darjah secara drastik, sehinggakan sesetengah orang banyak terpaksa menghabiskan waktu dengan teranah di rumah tanpa berjumpa orang lain, meskipun saudara terdekat.
Perkara ini sudah tentu sesuatu yang sangat berbeza dengan sebelum ada nya penularan wabak dalam kalangan komuniti di Negara Brunei Darussalam. Pandemik telah membuat kurangnya interaksi sosial, yang mampu menimbulkan tekanan psikologi yang boleh mempengaruhi kesihatan mental.
Namun bukan bererti kita harus terus termenung di rumah dan memikirkan perkara buruk akan apa yang akan terjadi selanjutnya. Malah apa yang penting, kita harus sentiasa aktif dan berfikiran positif dalam norma baharu ini.
Teknologi dekatkan perhubungan
Teranah di rumah bukan bererti kita tidak dapat berhubungan dengan ahli keluarga lain, kerana inilah masanya untuk kita menggunakan aplikasi perhubungan terkini seperti WhatsApp, Facebook, Zoom dan sebagainya yang mampu mengeratkan hubungan silaturahim antara sesama keluarga dan rakan yang jauh di mata agar tetap terjaga.
Membuat perjumpaan secara dalam talian adalah antara yang digalakkan semasa musim penularan ini. Bukan saja kita menjalankan tanggungjawab sosial untuk melakukan penjarakan fizikal malah kita mampu menghindarkan diri orang yang tersayang daripada risiko jangkitan.
Tetap aktif semasa berada di rumah
Kementerian Kesihatan juga telah mengingatkan kita untuk sentiasa tetap aktif dan membuat aktiviti fizikal bagi mengurangkan tekanan ketika terlalu lama berada di rumah. Keluarga yang sihat merupakan tonggak penting dalam melahirkan individu dan masyarakat yang sejahtera dari segi mental dan fizikal.
Bagi mencapai kesejahteraan keluarga, kesihatan dalaman dan luaran adalah penting bagi membolehkan seseorang individu melaksanakan aktiviti harian dengan baik. Aktiviti sukan ringan seperti melalukan Zumba atau larian mengelilingi rumah merupakan antara kegiatan yang perlu menjadi amalan agar kekal aktif ketika berada di rumah.
Di samping itu juga, melakukan aktiviti larian dan mendaki bukit adalah antara aktiviti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan pada musim penularan wabak COVID-19 ini dengan memastikan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan seperti membuat penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka jika berada di tempat terlalu ramai.
Menerima keadaan dengan hati terbuka
Berdamai dengan pandemik bukan bermakna kita harus berserah dan berpeluk tubuh dengan keadaan kes harian yang meningkat tanpa melakukan apa-apa. Sehubungan ini, kita seharusnya menerima hakikat dan membiasakan diri untuk mematuhi arahan-arahan dan peraturan yang telah diberikan untuk kesejahteraan dan keselamatan bersama.
Memvaksin sebilangan besar populasi akan menerbitkan imuniti kelompok, namun kita juga tahu virus ini bermutasi dengan varian baharu. Sains dan teknologi akan sentiasa dipertingkatkan bagi menghadapinya, cuma penemuan baharu dan penawar mujarab akan mengambil masa. Maka, kita harus menerima hakikat virus ini akan bersama untuk tempoh lama hingga kehidupan turut berubah demi menyesuaikan diri dengan kewujudannya. Untuk itu, kita perlu mempunyai pandangan terus ke hadapan yang positif.
Walaupun terpaksa menjalani kehidupan dengan COVID-19, namun kita jangan lupa dengan norma baharu untuk tetap waspada dan menjaga amalan kebersihan diri kita setiap saat. Setakat ini, mesej-mesej penjagaan kebersihan diri yang sentiasa ditekankan sejak awal kes COVID-19 di negara ini antara lain telah sedikit sebanyak mendidik masyarakat supaya sentiasa mengamalkan adab sebetulnya seperti ketika batuk dan bersin.
Selain itu, amalan lain seperti mencuci tangan dengan betul dan kerap juga makin menjadi kebiasaan rakyat, malah cecair pembasmi kuman dan pelitup muka yang sebelum ini bukanlah yang wajib, kini menjadi barangan keperluan utama yang perlu ada di setiap rumah, kereta, dan pejabat.
Keperluan melakukan penjarakan fizikal yang ditekankan pada ketika ini, menyaksikan beberapa kebiasaan turut berubah antaranya amalan berjabat tangan, di mana kini ramai yang semakin biasa dengan amalan meletakkan tangan kanan ke dada kiri, sambil tunduk tanda hormat.
Perkara itu yang menuntut orang ramai menjarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter, walaupun mungkin akan kekal sebagai amalan selepas berakhirnya pandemik ini, namun sekurang-kurangnya amalan itu akan menjadi kebiasaan baharu dalam masyarakat.
Amalan integriti dalam perniagaan
Kita seharusnya sedar, dalam menjalani kehidupan norma baharu ini, kita harus berusaha sama-sama membantu pihak kerajaan membendung penularan wabak COVID-19 untuk mengembalikan kehidupan sedia kala sebelum penularan wabak.
Manakala etika dan integriti pernia-gaan perlu diterapkan juga dalam norma baharu ini, yang merupakan perkara paling asas dalam pematuhan SOP dan amalan norma baharu kepada semua pihak yang terlibat, baik di pihak peniaga mahupun pelanggan itu sendiri.
Dengan adanya variasi aktiviti penuh makna dan menjalani kehidupan dengan penuh positif serta mengamalkan gaya hidup sihat sememangnya suatu langkah yang sangat baik dalam menjalani kehidupan seharian, lebih-lebih lagi di kala berdepan dengan ancaman krisis pandemik ini.
Namun apa yang pasti, di samping melaksanakan segala arahan pihak kerajaan kita hendaklah sentiasa memohon dengan kerendahan hati kepada Allah SWT agar ujian dan musibah yang melanda dunia dan negara kita akan segera terhapus.