KUALA LUMPUR, 3 APRIL – Kekal tenang ketika berdepan cabaran getir menjadi ramuan kejayaan luar biasa pemain skuasy Malaysia, S Sivasangari yang muncul juara edisi sulung Kejohanan Skuasy Klasik London, Isnin lepas.
Pemain ranking ke-13 dunia itu menggegarkan sukan skuasy apabila menyingkirkan pemain ranking kedua dunia, Hania El Hammamy dari Mesir 11-9, 5-11, 13-11, 12-14, 11-8 pada aksi final di Alexandra Palace, London.
Juara Sukan Asia 2022 itu mengaitkan kejayaan menjuarai Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) bertaraf emas tersebut dengan sikap tenang serta menikmati permainan tanpa tunduk kepada tekanan.
“Saya rasa saya bermain skuasy terbaik apabila saya tenang, jadi saya harap dapat meneruskan prestasi dan mentaliti ini dalam kejohanan akan datang.
“Saya selalu ingin mencabar pemain-pemain terbaik dunia dan cuba mengalahkan mereka, jadi untuk melakukannya dalam kejohanan ini sememangnya mengagumkan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Pada kejohanan itu Sivasangari menyingkirkan pemain nombor satu dunia Nour El Sherbini dari Mesir 11-9, 11-9 di peringkat suku akhir sebelum mencipta satu lagi kejutan menewaskan pemain ranking keempat dunia Nele Gilis 10-12, 11-7, 11-8, 10-12, 11-9 pada aksi separuh akhir.
Kejayaan itu membolehkan Sivasangari membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$17,598 (RM83,141).
Pencapaian luar biasa pada Kejohanan Skuasy Klasik London itu menjadikan Sivasangari sebagai pemain Malaysia pertama meraih gelaran juara Jelajah Dunia PSA bertaraf emas sejak kemenangan legenda skuasy Malaysia, Datuk Nicol David dalam Kejohanan Terbuka Hong Kong 2015.
Menurut Sivasangari kejayaan itu meningkatkan keyakinannya untuk menjadi pemain terbaik dunia serta mencapai matlamat utama menyumbang pingat emas buat negara pada Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.
Atlet kelahiran Kedah berusia 25 tahun itu berjanji terus berusaha menggapai lebih banyak kejayaan pada masa depan dan menyasarkan menembusi kelompok 10 terbaik dunia menjelang akhir musim.
Ditanya bagaimana beliau mengekalkan motivasi selepas terbabit dalam kemalangan yang mengancam nyawa pada Jun 2022, Sivasangari berkata beliau membuat banyak pengorbanan untuk pulih daripada kejadian itu dan kembali melakukan apa yang diminati. – Bernama