BERLIN, 3 NOV – Niko Kovac mengakui masa depannya sebagai pengendali Bayern Munich semakin pudar selepas kekalahan 5-1 di Eintracht Frankfurt – kekalahan terburuk kelab sejak sedekad lalu.
Bayern kini empat mata di belakang pendahulu Bundesliga Moenchengladbach selepas kekalahan terbesar mereka dalam saingan liga sejak dibelasah Wolfsburg dengan jumlah jaringan sama pada April 2009.
Kekalahan sedekad lalu itu meragut jawatan Jurgen Klinsmann sebagai pengendali Bayern dan Kovac berdepan nasib sama apabila Frankfurt mudah membenam lawan yang terpaksa beraksi 10 orang susulan Jerome Boateng dibuang padang pada minit kesembilan.
Kovac mengambil alih Bayern pada Jun 2018, memenangi kejuaraan berganda musim lalu.
“Saya tahu bagaimana perniagaan ini berjalan – saya bukan naif,” kata Kovac berkenaan masa depannya. “Selepas kad merah, semuanya hancur. Sepatutnya ia tidak berlaku dan ia bukan yang kami harapkan daripada diri sendiri. Kami melakukan terlalu banyak kesilapan.”
Gol-gol jaringan Filip Kostic, Djibril Sow, David Abraham dan Martin Hinteregger meletakkan Frankfurt 4-1 di depan selepas sejam permainan.
Robert Lewandowski menjaringkan gol tunggal Bayern di babak pertama, bagaimanapun Frankfurt begitu menguasai permainan sehingga pengendalinya Adi Huetter membawa masuk penyerang ketiga menggantikan pemain tengah bertahan Gelson Fernandes ketika permainan berbaki 10 minit.
Lima minit kemudian Frankfurt meledak gol kelima menerusi Goncalo Pacienca. – AFP
