Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Kekalkan budaya Ehimi melalui reka bentuk

    MATSUYAMA – Selepas bertahun-tahun sebagai pereka tekstil di syarikat reka bentuk Finland yang terkenal di dunia, Marimekko, Fujiwo Ishimoto, 81, kini berusaha untuk mengekalkan budaya tempatan tanah airnya, Wilayah Ehime dengan bantuan The Museum of Art, Ehime, di Matsuyama.

    Marimekko, yang diasaskan pada tahun 1951, mengeluarkan fabrik tenunan dan produk tekstil lain yang popular di Jepun.

    Muzium itu setakat ini telah mengadakan dua pameran yang menampilkan hasil kraf Fujimoto. Ia juga telah membina koleksinya secara berterusan untuk menghormati dan meneruskan legasi kawasan itu dalam menghasilkan bakat cemerlang dalam mereka bentuk.

    Ishimoto dan Haruka Sugiyama, kurator muzium yang bertanggungjawab ke atas pameran Ishimoto yang diadakan pada 2018, baru-baru ini bertemu dengan The Yomiuri Shimbun untuk membincangkan sifat kaya di wilayah ini sebagai sumber inspirasinya. Berikut dipetik daripada temu bual:

    “Ishimoto, awda pulang dari Finland dua tahun lalu. Sebelum itu, terdapat pameran solo karya awda pada 2013 dan 2018 di The Museum of Art, Ehime,” kata Yomiuri Shimbun.

    Fujiwo Ishimoto (kanan) dan Haruka Sugiyama ketika ditemui. – ANN/The Japan News

    Karya-karya Ishimoto yang dipamerkan di pameran Fujiwo Ishimoto From Marimekko Flowers to Ceramic Fruits yang diadakan di muzium pada 2018. – ANN/The Japan News
    Salah satu karya yang dipamerkan di pameran Fujiwo Ishimoto From Marimekko Flowers to Ceramic Fruits. – ANN/The Japan News
    Gambar menunjukkan The Museum of Art, Ehime. – ANN/The Japan News

    “Terdapat sebuah institusi di Tokyo yang telah memperkenalkan reka bentuk Finland dengan penuh semangat. Jadi, pameran pertama telah diadakan di Tokyo pada tahun 2012. Kemudian ia menuju ke Ehime,” jelas Ishimoto.

    “Penduduk tempatan, terutamanya penduduk di kampung halamannya Tobe, yang bersempadan dengan Matsuyama, memimpin dalam menjayakan pameran itu. Mereka tidak sabar-sabar berkata, ‘Kami mahu ia bermula di Ehime (lain kali)’, dan pameran itu diadakan semula pada 2018 sebelum melawat Kyoto dan Tokyo. Ia menarik banyak perhatian. Terdapat beberapa pereka dari kawasan ini yang menyebabkan keterujaan sedemikian,” jelas Haruka Sugiyama.

    “Apa yang khususnya bergema dengan penduduk Wilayah Ehime?” soal Yomiuri Shimbun.

    “Ishimoto menonjol sebagai pereka tekstil untuk Marimekko dan mendapat pujian tinggi untuk reka bentuk Jepun yang menggabungkan dan reka bentuk Scandinavia. Pada tahun-tahun kemu- dian, beliau juga bertugas sebagai tukang seramik di Arabia, salah satu pengeluar seramik Scandinavia terkemuka.

    “Saya rasa orang di sini mengagumi Ishimoto kerana karya beliau yang telah lama menyokong reka bentuk Finland, yang mempunyai daya tarikan global, dan mereka merasakan karya beliau terhasil daripada perkara yang istimewa tentang kawasan ini,” jelas Sugiyama.

    “Apakah maksud kampung halaman awda dari segi kreativiti awda?” soal Yomiuri Shimbun kepada Ishimoto.

    “Ia adalah salah satu sumber inspirasi yang penting. Tobe pernah menjadi bandar yang berkembang maju untuk pengeluaran seramik, pembuatan seramik, dan produk eksport ke seluruh Asia sebelum Perang Dunia Kedua,” jelas Ishimoto.

    Tambahnya, beliau sering mencari serpihan tembikar yang tertanam di dalam tanah di sekeliling rumah tempat dia dibesarkan.

    “Saya rasa pengalaman dan persekitaran sebegini membuatkan saya minat dalam seni.

    “Saya dibesarkan dalam persekitaran semula jadi yang kaya di Shikoku. Semasa saya kecil, saya akan memanjat pokok baiberi di halaman rumah dan memetik buah beri merah untuk dimakan. Warna dan imej bunga dan beri yang saya lihat kemudiannya akan menjadi motif untuk fabrik dan seramik saya.”

    “Wilayah Ehime telah lama melahirkan pemimpin yang cemerlang dalam reka bentuk,” kata Yomiuri Shimbun.

    “Hisui Sugiura (1876-1965), yang dianggap sebagai perintis dalam reka bentuk Jepun moden; pencetak Umetaro Azechi (1902-1999), juga aktif sebagai ilustrator; Hiroshi Manabe (1932-2000), yang terkenal dengan ilustrasinya dalam novel fiksyen sains oleh Shinichi Hoshi, menunjukkan ramai artis terkemuka Jepun. Karya mereka merupakan tonggak penting koleksi di muzium kami, dan kami sering mendapat permintaan daripada muzium lain untuk meminjamkannya,” jelas Sugiyama.

    Ishimoto berkongsi semasa dia ke Tokyo untuk mengambil peperiksaan masuk ke Sekolah Seni Halus Tokyo (kini Universiti Seni Tokyo), dia sempat melawat rumah Sugiura, kerana beliau seorang artis yang hebat dari kawasan kampung halamannya. Tambahnya, Sugiura tinggal di sebuah rumah yang tersergam indah di tengah Tokyo.

    The Yomiuri Shimbun turut berkesempatan bertanya kepada Ishimoto bagaimana beliau mengekalkan keinginan untuk mencipta selepas kembali ke Jepun.

    Jelas Ishimoto, dia mendapat inspirasi daripada pelbagai landskap dan perkara yang dilihat di kampung halamannya dan kini menumpukan untuk membuat seramik.

    “Pihak muzium hanya boleh bersyukur kerana Ishimoto akan meneruskan legasi Hisui Sugiura dan yang lain. Kami akan terus memperkenalkan karya beliau dan artis ini,” jelas Sugiyama.

    Fujiwo Ishimoto dilahirkan pada tahun 1941 di Wilayah Ehime. Beliau merupakan lulusan Fakulti Seni Halus Universiti Seni Tokyo, berpindah ke Finland pada tahun 1970. Pada tahun 1974, beliau menjadi pereka tekstil untuk Marimekko.

    Pada tahun 1989, beliau mula bekerja sebagai artis seramik untuk jenama Arabia. Pada 2011, beliau telah dianugerahkan Order of the Rising Sun, Gold Rays with Rosette, oleh kerajaan Jepun.

    Muzium untuk melihat, mencipta, belajar

    The Museum of Art, Ehime, akan menyambut ulang tahun ke-25 tahun depan, dibuka sebagai tempat di mana pengunjung boleh berseronok melihat, mencipta dan belajar tentang seni melalui aktiviti penyertaan kreatif.

    Muzium itu telah mengadakan pameran daripada koleksi karya artis Ehime seperti Hisui Sugiura, Umetaro Azechi, dan Hiroshi Manabe, serta artis asing seperti Claude Monet dan Paul Cezanne.

    Ia juga memperkenalkan pelbagai karya cemerlang artis Jepun dan luar negara melalui pelbagai pameran khas. Di samping itu, muzium itu membantu aktiviti kreatif seperti seni cetak, kerja kayu, fotografi dan banyak lagi di Kenmin Atelier (studio untuk penduduk wilayah) dan secara aktif menawarkan bengkel dan program pendidikan lain.

    Muzium itu berada dalam suasana yang menarik, dilambangkan dengan tiga pokok kapur barus yang menjulang tinggi di halaman dan lobi yang menawarkan pemandangan langsung Istana Matsuyama. Kami akan terus berusaha untuk menarik lebih ramai orang. – ANN/The Japan News

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...