Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MEI – Sebagai usaha berterusan bagi mengekalkan gaya hidup sihat dalam kalangan ahli Kumpulan Santai-santai (SSR) dan Amateur Cycling Team (ACT) dari Negara Brunei Darussalam, kumpulan tersebut telah menyertai riadah berbasikal IPD Miri Night Fun Ride baru-baru ini.
Dalam acara tersebut, 450 orang peserta dari Sarawak, Sabah, Labuan, United Kingdom dan juga Negara Brunei Darussalam telah menyahut cabaran tersebut dengan mengayuh basikal sejauh 21 kilometer.
Peserta memulakan kayuhan pada pukul 8 malam dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Miri yang kemudian melalui Jalan Miri-Pujut 7, Permay Mall, Vista Perdana, Pujut Padang Kerbau dan berakhir di IPD Miri.
Ketua pasukan, Haji Mohammed bin Haji Mohd Zanai dari Kumpulan SSR menjelaskan, dengan adanya acara seumpama itu, ia bukan sahaja dapat mempersiapkan ahli SSR dalam sukan berbasikal ini, malah ia secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan silaturahim di antara penggemar aktiviti berbasikal rentas sempadan.
Acara diadakan sempena Hari Polis ke-217 Tahun, 2024 Peringkat IPD Miri, anjuran IPD Miri dengan kerjasama Kelab Berbasikal Kerbau Bull.