Kekalkan kesihatan demi cegah penyakit

Oleh Nurdiyanah R.

Memiliki berat badan dan tubuh badan yang ideal bukanlah semudah menukar baju di bilik persalinan. Banyak pengorbanan, komitmen, usaha, disiplin dan kesungguhan diperlukan untuk mendapatkan hasil sebenar.

Kesihatan diri merupakan harta yang paling berharga namun ramai yang tidak menyedarinya sehingga ditimpa sesuatu penyakit.

Pepatah ada mengatakan, ‘diri anda ialah apa yang anda makan.’

Begitulah pentingnya corak pengambilan makanan yang teratur sepatutnya dimulakan sejak awal lagi demi memastikan kesihatan yang baik.

Hakikatnya kebanyakan punca utama serangan penyakit-penyakit serius seperti kanser dan penyakit jantung adalah kerana tidak memakan makanan yang seimbang dan kurang memakan makanan yang berkhasiat serta kurang bersenam.

“Untuk membuka minda masyarakat di negara ini untuk sama-sama meningkatkan kesedaran betapa pentingnya memperkasa amalan cara hidup sihat secara berterusan dalam kehidupan seharian dalam menangani masalah-masalah kesihatan seperti obesiti, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung, itulah antara matlamat besar saya dalam mengendalikan salah satu projek kesihatan ini,” itulah antara kata-kata yang diungkapkan oleh Penganjur Projek Kempiskan Perut, Awang Waajidun Ni’am bin Haji Dollah atau lebih dikenali sebagai Coach (Jurulatih) Jidun, di bawah pusat perkhidmatan latihan kecergasan fizikal tempatan miliknya, Syarikat JitFitBn semasa ditemui penulis baru-baru ini.

Coach Jidun (depan, kiri) selaku penganjur Projek Kempiskan Perut di bawah pusat perkhidmatan latihan kecergasan fizikal, Syarikat JitFitBn semasa ditemui penulis baru-baru ini.
Selain itu, Projek Kempiskan Perut juga dimuatkan dengan aktiviti outdoor seperti bersenam dan berlari di taman–taman riadah di negara ini dengan menerapkan langkah-langkah keselamatan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan bagi sama-sama menangani penularan pandemik COVID-19. – Gambar serahan Awang Waajidun Ni’am
Menerusi projek berkenan, Jurulatih Jidun telah menekankan 12 sesi senaman tertentu kepada para peserta seperti aktiviti indoor (dalam gim) demi membantu para peserta mengurangkan berat badan melalui pelbagai aktiviti bersama-sama.

Mencegah lebih baik daripada mengubati

Selaku pengasas dan ketua jurulatih di pusat latihan kecergasan fizikal berkenaan, Coach Jidun turut menyatakan bahawa adapun perlaksanaan projek bertujuan untuk membantu para peserta mengurangkan berat badan melalui pelbagai aktiviti bersama-sama.

Salah satunya menyemai dalam diri para peserta semangat ke arah gaya hidup sihat dengan berkongsi ilmu pengetahuan mengenai bagaimana cara untuk menguruskan berat badan dengan teratur.

Di samping itu, ia juga membantu para peserta untuk mengekalkan berat badan mereka setelah enam bulan berusaha mencapai sasaran berat yang dikehendaki.

“Sikap ‘mencegah itu lebih baik daripada mengubati’ dalam menjalani kehidupan seharian itu amat penting disemai sebagai budaya oleh seluruh lapisan masyarakat demi melahirkan rakyat yang sihat dan cergas berteraskan amalan gaya hidup sihat,” ujarnya dengan penuh keyakinan.

Penekanan 12 sesi senaman

Menerusi projek berkenan, Coach Jidun telah menekankan 12 sesi senaman tertentu kepada para peserta meliputi aktiviti indoor dan outdoor. Secara umumnya perkhidmatan latihan kecergasan fizikal yang diketengahkan ini merangkumi kedua-dua jenis latihan pergerakan fizikal iaitu aerobik dan anaerobik.

Hal ini amat penting untuk mewujudkan kesihatan fizikal yang menyeluruh, mempunyai berat badan yang ideal, jantung yang sihat, otot dan tulang yang kuat dan daya ketahanan fizikal yang tinggi.

Beliau yang kini berusia 29 tahun ini menyatakan bahawa aerobik iaitu senaman sejenis kardio untuk menguatkan denyutan jantung dan juga keseimba-ngan pernafasan serta mengawal berat badan seperti berjoging dan berjalan kaki.

“Manakala senaman anaerobik merupakan senaman fizikal intensiti tinggi yang dilakukan jangka masa singkat yang berfungsi untuk menguatkan otot-otot tubuh badan yang utama seperti dengan penggunaan peralatan mengangkat besi, foam roller dan bola.

“Antara kebaikannya ialah meningkatkan kekuatan otot, memperbaiki keupayaan seseorang serta meningkatkan ketahanan dan kemampuan untuk melawan keletihan dan juga kelesuan,” ujar beliau yang bertugas sebagai pegawai pelajaran kesihatan dengan lebih terperinci.

Sesi pembelajaran menerusi aplikasi Webinar

Dalam pada itu, para peserta projek berkenaan turut diketengahkan dengan empat sesi pembelajaran dalam talian menerusi aplikasi Webinar dan juga WhatsApp. Antara yang dimuatkan ialah langkah-langkah untuk mengempiskan perut meliputi pengambilan permakanan yang sihat dan juga membantu para peserta agar sentiasa bersemangat dan berjuang dalam meneruskan misi sihat mereka dari hari ke hari.

“Sesi pembelajaran dalam talian ini sememangnya memiliki kebaikan yang tersendiri seperti memberi kemudahan dalam memantau para peserta. Di samping menggalakkan dan mengetuai latihan kecergasan fizikal mereka dengan lebih teratur dan bersistematik,” jelasnya lagi.

Bersama tangani penularan COVID-19

Sehubungan dengan itu, melihat kepada situasi dunia termasuklah negara ini yang berdepan musibah wabak COVID-19, Coach Jidun turut melaksanakan langkah-langkah pencegahan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan di premis pusat latihan beliau sama ada bagi aktiviti indoor dan juga outdoor.

Antaranya dengan setiap yang memasuki gim mestilah mendaftar BruHealth dan mengehadkan jumlah peserta yang ikut bersenam. Begitu juga dengan pemeriksaan suhu badan sebelum mengikuti aktiviti yang ditawarkan. Penyediaan pensanitasian tangan di gim dan juga menggalakkan para peserta untuk sentiasa menjaga kebersihan diri seperti mencuci tangan.

“Bukan mudah untuk meraih sebuah kejayaan, namun saya yakin berbekalkan kesabaran dan ketekunan serta semangat juang yang tinggi dalam mengikuti aktiviti-aktiviti yang ditetapkan dalam projek ini, saya yakin para peserta akan dapat menempuh cabaran dan rintangannya dengan mudah dengan izin Allah SWT jua.

“Adalah menjadi harapan saya untuk para peserta agar sentiasa menyemai rasa bersungguh-sungguh untuk menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman serta berjiwa positif antara satu lain demi untuk sama-sama mengorak langkah dalam menitikberatkan hal ehwal penjagaan kesihatan fizikal mahu pun mental bersama ahli keluarga dan juga sahabat handai demi mewujudkan golongan insan yang Get Fit, Move Well, Happy in Life,” tegasnya semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata, baru-baru ini.